PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa 23 Mac ini.
Perkara itu diakui pakar falak, Hanafiah Abdul Razak yang juga ahli panel falak rujukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Insya-Allah masyarakat Islam dijangka berpuasa 1 Ramadan pada 23 Mac ini dengan anak bulan Ramadan diunjur memenuhi kriteria imkanur rukyah pada petang 22 Mac,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga imam di sebuah masjid di Johor berkata, dari segi hisab atau kiraan falak, hilal atau anak bulan Ramadan dijangka memenuhi syarat ketampakan.
“Setakat ini, itulah gambaran tarikh sebagai panduan umat Islam untuk merancang jadual terutama pihak masjid bersedia mengadakan solat tarawih bagi malam pertama,” katanya.
Turut sependapat ialah pakar falak, Datuk Dr. Azahari Mohamed yang mengakui bahawa hilal bulan tersebut dari segi hitungan akan memenuhi imkanur rukyah.
Katanya, kriteria berkenaan menetapkan anak bulan mesti ketinggian tidak kurang tiga darjah dari ufuk manakala jarak lengkung bulan ke matahari perlu lebih enam darjah empat minit.
Justeru. tambahnya, berdasarkan perisian Kiraan Interaktif Tarikh Awal Bulan secara elektronik atau e-KITAB yang dibangun dengan menggunakan kaedah interpolasi, 1 Ramadan jatuh 23 Mac.
“Saya membuat hitungan ini dengan merujuk lokasi stesen rukyah di Pulau Perak, Kedah yang merupakan titik paling barat di Malaysia untuk matahari terbenam,” jelas beliau.
Pengiraan menerusi e-KITAB itu menunjukkan hilal berada pada ketinggian lapan darjah 28 minit manakala jarak lengkungnya pula ke matahari ialah sembilan darjah 17 minit.
Bagaimanapun, keputusan muktamad hanya diumumkan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja selepas selesai menerima laporan daripada semua stesen pencerapan.
Penentuan awal bulan Hijrah menggunakan kriteria baharu itu diwartakan pada Muharam 1443 atau 2021 dan melibatkan 29 stesen pencerapan hilal rasmi di Malaysia. – UTUSAN










