AMPANG: Penduduk di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai yang terkesan dengan kejadian tanah runtuh sebelum Ramadan tahun lalu sehingga meragut empat nyawa, bimbang sekiranya keadaan sama berulang berikutan langkah pencegahan yang dirancang belum siap dan lewat daripada jadual.
Papan tanda yang dipasang pihak berkuasa tempatan (PBT) memaparkan kerja-kerja pembaikan cerun di kawasan tersebut dijadual siap pada 29 Disember tahun lalu namun sehingga kini projek tersebut masih berjalan.
Malah tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat rumah yang masih ada kesan akibat tanah runtuh yang belum dibersihkan walaupun sudah hampir setahun tragedi berlaku.
Tinjauan mendapati, kerja-kerja di tebing yang menjadi punca penduduk kehilangan harta benda dan ahli keluarga itu sedang dilakukan kontraktor dilantik PBT. Sekali gus, ini menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya keadaan sama berulang.
Wakil penduduk, Mohd. Sharif Jiran, 61, berkata, selepas kejadian tersebut, banyak penduduk yang terkesan dan masih bergelut untuk bangkit.
“Orang luar nampak macam penduduk di sini berkemampuan, ada media melaporkan yang pihak berkuasa sediakan pusat pemindahan sementara (PPS) pun tidak ada orang duduk.
BERTEDUH
“Sedangkan, kami sebagai mangsa sudah ambil langkah lebih awal daripada PPS. Berlaku pada 5 petang, sekitar 7.30 pihak bomba datang tetapi kami sudah pergi mencari tempat berteduh sendiri iaitu hotel dan inap desa, ketika itu PPS belum ‘wujud,” katanya ketika ditemui.
Media melaporkan, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 pada 10 Mac 2022 itu meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.
Sehubungan itu, hampir semua mangsa menyifatkan sambutan Aidilfitri pada tahun lepas suram kerana kediaman mereka yang belum pulih sepenuhnya.
Mohd. Sharif berkata, beliau bersama 12 penduduk lain membuat permohonan pampasan selepas kejadian tersebut berlaku iaitu pada Jun ia dihantar kepada PBT tetapi sehingga Disember tidak mendapat maklum balas.
“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, Rafizi Ramli memenangi kerusi Parlimen Pandan. Kami berjumpa dengan beliau bagi memohonnya untuk menyemak status pampasan kami. Pada 17 Januari lepas baru PBT telefon kata ada dokumen tidak lengkap, agaknya baru nak semak.
“13 permohonan saja, bukan 130 kalau mereka nak semak dari awalnya sudah boleh tahu ada dokumen yang tidak lengkap. Malah, disebabkan proses yang menyusahkan ni terdapat penduduk mengeluarkan dua keretanya daripada senarai tuntutan kerugian,” katanya. – UTUSAN










