PETALING JAYA: Sebanyak 71 peratus atau dua pertiga pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) aktif yang berumur 55 tahun dan ke bawah tiada wang mencukupi untuk bersara di atas paras kemiskinan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peratusan yang tinggi itu disebabkan empat siri pengeluaran khas KWSP semasa penularan pandemik Covid-19 yang membabitkan pengeluaran sebanyak RM145 bilion.
“Bilangan ahli aktif yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada usia 55 tahun) menurun daripada 36 peratus pada tahun 2020 kepada 29 peratus pada akhir tahun 2022.
“Perkara ini secara langsung menunjukkan bahawa 71 peratus, atau lebih dua pertiga daripada ahli aktif mencarum berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Oleh itu, kata beliau, KWSP menganggarkan pencarum perlu bekerja antara empat hingga enam tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian mengenai pengeluaran awal KWSP dan rancangan kerajaan untuk membantu pencarum membina semula simpanan mereka.
Menjawab lanjut, Anwar berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 6.7 peratus pencarum atau bersamaan 51 peratus daripada jumlah keseluruhan mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan KWSP.
Oleh itu, katanya, pengeluaran tambahan tidak berjadual akan menyebabkan lebih banyak masalah kepada pencarum dan akan menjejaskan pendapatan KWSP
Menjawab soalan Hajah Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), Anwar berkata, skim Bayaran Caruman Sukarela KWSP, diperkenalkan Julai 2022 mendapat sambutan menggalakkan.
Sehingga 31 Januari lalu, kata beliau, 315,702 ahli menyertai skim itu dengan menyumbang RM527.7 juta.
Anwar turut menggalakkan mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap menyertai skim i-Saraan, yang ditetapkan kerajaan sebanyak 15 peratus atau sehingga RM250 setahun.
Skim Bayaran Caruman Sukarela dan skim i-Saraan dihadkan pada RM60,000 setahun.- UTUSAN










