KOTA KINABALU: Dasar 3K (Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan) dalam sistem pendidikan negara perlu diperkasakan bagi memastikan keselamatan murid di luar kawasan sekolah terjamin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Jame Alip berkata, insiden jeti roboh yang berlaku di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Pababag, Semporna semalam harus membuka mata pihak kementerian untuk melihat isu keselamatan murid di negeri ini secara menyeluruh.
Katanya, dii Sabah, tiga peratus sekolah terletak di dalam kawasan pulau maka jambatan dan jeti adalah laluan utama murid serta guru untuk ke sekolah setiap hari.
Namun, sekiranya jambatan dan jeti yang digunakan usang maka, nyawa murid akan terancam.
Selain itu, beliau melihat pihak sekolah harus menjalin kerjasama rapat dengan pemimpin masyarakat seperti ketua kampung mahupun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menangani isu keselamatan membabitkan murid.
“Jika kemudahan jambatan yang digunakan sudah usang, pihak sekolah boleh berbincang dengan wakil rakyat atau pemimpin masyarakat di kampung tersebut agar segerakan kerja-kerja penyelenggaraan.
“Jangan tunggu sehingga insiden seperti semalam berulang baru KPM mahu bertindak. Perkara ini berkait rapat dengan keselamatan murid, biarpun ia berlaku di luar kawasan sekolah,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia telah melaporkan kira-kira 20 peratus atau 100,000 daripada 505,439 pelajar di Sabah berdepan kesukaran untuk ke sekolah.
Pada masa ini, 60 peratus daripada 1,075 sekolah rendah di Sabah terletak di pedalaman menyebabkan murid terbabit terpaksa mengharungi kesukaran yang turut merisikokan keselmatan mereka seperti menaiki perahu menyeberangi sungai, melalui jambatan gantung mahupun berjalan kaki meredah hutan untuk ke sekolah setiap hari.
Menurut beliau, begitu juga dengan penggunaan jambatan gantung yang menjadi laluan murid di Sabah.
Jelasnya, sekiranya, ia tidak selamat digunakan, pemimpin masyarakat harus bertindak pantas membaiki kerosakan yang berlaku.
Jame berkata, kebanyakan kejadian yang mengancam nyawa murid berlaku di luar kawasan sekolah maka, pihak sekolah tidak boleh bersikap lepas tangan meletakkan tanggungjawab itu kepada ibu bapa semata-mata.
Kerjasama antara pihak sekolah dan pemimpin masyarakat amat diperlukan bagi memastikan murid sekolah boleh datang dan pulang sekolah dalam keadaan yang selamat.
Semalam, 25 murid termasuk lima murid Tabika Kemas terjatuh ke dalam laut di Kampung Pulau Pababag, Semporna apabila jambatan dan jeti yang digunakan untuk ke sekolah roboh. – UTUSAN










