KULIM: Kira-kira 2,000 penduduk Taman Damai dan Kampung Paya Ketiau di Padang Serai yang melalui Jalan Damai 3, di sini menggesa pihak yang berkenaan supaya membaiki segera jalan terbabit yang rosak.
Penduduk yang tinggal di sekitar itu setiap hari melalui jalan berkenaan untuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah selain berurusan di dua buah bank di kawasan pusat perniagaan di taman terbabit.
K. Murthy, 57, berkata, terdapat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai yang terletak berhampiran lokasi itu menyebabkan jalan berkenaan menjadi laluan utama orang ramai.
“Malah, pengguna jalan raya juga akan menggunakan Jalan Damai 3 ini untuk ke Sungai Karangan, Merbau Pulas dan Kuala Ketil setiap hari.
“Namun, keadaan permukaan jalan itu tidak selamat kerana mempunyai banyak lubang yang membahayakan pengguna terutama penunggang motosikal yang melaluinya pada waktu malam,” katanya ketika ditemui, semalam.
Seorang lagi penduduk, Yusuff Ahmad, 67, berkata, sesetengah lubang di jalan tersebut diletakkan sisa bahan binaan seperti batu untuk meratakan permukaan, namun ia tidak akan kekal lama kerana akan kembali rosak setelah dilalui oleh kenderaan setiap hari.
“Amat membahayakan penduduk kerana kami tidak ingat di mana kedudukan lubang tersebut, tambahan pula apabila hari hujan kerana permukaan jalan akan dipenuhi air yang menambah lagi risiko kepada pengguna,” katanya.
Bagi penduduk Kampung Paya Ketiau, Ibrahim Salleh, 35, berkata, dia menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja di Sungai Karangan setiap hari dan pulang pada lewat petang ketika cuaca semakin gelap.
“Sudah beberapa kali motosikal saya terjatuh dalam lubang di laluan terbabit sehingga mengalami masalah pada bahagian tayar serta penyerap hentakan yang rosak dan perlu dibaiki segera,” katanya.
Keadaan sama dikongsikan T. Maniam, 40, yang memaklumkan dia hampir terjatuh daripada motosikal akibat hilang kawalan ketika melalui jalan berlubang ketika pulang bekerja beberapa minggu lalu.
“Ketika itu hujan baru berhenti dan saya tidak nampak lubang yang berada di tepi jalan lalu terus melaluinya, sehingga terhuyung-hayang motosikal saya, “ ujarnya.-UTUSAN










