Penempatan haram warga asing diserbu, turut mempunyai sekolah - Utusan Malaysia

Penempatan haram warga asing diserbu, turut mempunyai sekolah

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai, Seremban, awal pagi tadi.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Terletak sejauh 1.2 kilometer di dalam hutan malah mempunyai kemudahan sekolah merupakan keadaan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diserbu dalam operasi bersepadu diketuai pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Nilai Spring, Nilai di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang malah berkata, perkampungan warga asing itu terletak di kawasan permukaan yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.

“Penempatan ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar yang mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat.

“Pasukan operasi juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer sebelum sampai ke lokasi.

“Hasil risikan dijalankan selama sebulan, penempatan ini telah menjadi satu perkampungan yang memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KEMUDAHAN sekolah turut ada di dalam sebuah perkampungan haram warga asing yang diserbu di Nilai, Seremban, awal pagi tadi.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA.

Sementara itu, beliau berkata, dalam operasi yang turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu, seramai 67 orang PATI telah pun ditahan.

“Dalam operasi bermula pukul 1.30 pagi itu, seramai 68 orang warganegara Indonesia telah diperiksa dan hasilnya seramai 67 orang berumur di antara dua bulan hingga 72 tahun terdiri daripada 11 orang lelaki, 20 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan telah ditahan. 

“Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. 

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat cubaan daripada beberapa orang PATI yang cuba meloloskan diri daripada ditahan pegawai Imigresen malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap,” katanya lagi.

SENJATA tajam yang turut ditemui pihak Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai, Seremban, awal pagi tadi.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA.

Menurut Ai Kiang lagi, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

“Turut dijumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang. Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.Operasi Ini dilaksanakan berdasar aduan dan maklumat orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat.

“Pihak Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan juga sedang mengenal pasti sama ada penempatan ini didirikan di atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya