Penduduk kecewa siren amaran gagal berfungsi - Utusan Malaysia

Penduduk kecewa siren amaran gagal berfungsi

SEORANG penduduk, Din menggunakan bot selepas rumah ditenggelami banjir di Kampung Tersang Rantau Panjang, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penduduk di Kampung Tersang dan Lanchang di sini meluahkan rasa kecewa apabila siren amaran banjir didakwa gagal berfungsi walaupun kawasan rumah mereka ditenggelami air sejak Sabtu lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk kampung Tersang, Syed Zai­nal Abidin Syed Mamat, 63, mendakwa, walaupun paras air sudah mencecah tiga meter namun mereka tidak mende­ngar bunyi amaran yang dikeluarkan oleh siren berkenaan.

“Kali terakhir siren amaran banjir itu berbunyi pada Februari tahun lalu. Jika sistem amaran itu berfungsi sudah pasti kami penduduk di Kampung Tersang, Lanchang, Bendang Perol, Gual To’ Deh dapat mendengarnya.

“Siren banjir paling dekat dengan kawasan ini di Kampung Lanchang, bagaimanapun ia tidak berfungsi,” kata­nya ketika ditemui di Kampung Tersang di sini semalam.

Syed Zainal memberitahu, kebanyakan penduduk sudah ‘masak’ dengan situasi banjir dan mula membuat persiapan awal apabila hujan lebat pada Jumaat lalu.

Katanya, selagi Monsun Timur Laut tidak berakhir, penduduk di sini perlu sentiasa waspada untuk menghadapi banjir.

“Mujurlah di laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa mengemas kini paras air Sungai Golok dan beberapa sungai lagi.

“Apabila air di Sungai Jenob di paras 23 meter, kami di sini akan bersiap sedia untuk berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Sementara itu, Vinda Din, 29, memberitahu, situasi banjir kali ini mengelirukan mereka kerana cuaca berada dalam keadaan baik namun paras air tetap meningkat.

Katanya, dia berharap pihak berkuasa dapat mengambil serius masalah tersebut dan segera menyelesaikannya untuk kepentingan penduduk.

Sementara itu sumber JPS Kelantan mengakui siren tersebut mengalami kerosakan selepas ditenggelami banjir.

Katanya, kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan bagi memastikan siren itu kembali berfungsi dengan baik untuk kemudahan penduduk.-utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN