Pemilihan UMNO hambar

Pemilihan UMNO hambar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah calon Pemilihan UMNO penggal 2023-2026 merosot sebanyak 360 orang berban­ding 518 calon ketika pemilihan 2018.

Setakat semalam hanya 158 orang mendaftarkan diri untuk pertandingan semua jawatan membabitkan Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri dalam tempoh berbaki dua hari terakhir menghantar borang Ahad ini.

Sementara itu, pemilihan UMNO bulan depan masih di­dominasi dalam kalangan muka-muka lama termasuk mereka yang cuba membuat kemunculan semula.

PENYANDANG

Untuk Naib Presiden, hanya dua penyandang telah menghantar borang pencalonan iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Seorang lagi penyandang iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga kini belum menyatakan pendirian.

Nama lain yang disebut-sebut akan bertanding Naib Presiden antaranya Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Aza­lina Othman Said masih belum menghantar borang pencalonan.

Begitu juga Majlis Tertinggi apabila antara 51 orang menye­rahkan borang pencalonan, masih terdapat ramai penyandang.

Hanya segelintir muka baharu antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan Setia­usaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan serta Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol.

Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO pula, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang pernah memegang jawatan itu membuat kemunculan semula manakala penyandang, Datuk Dr. Noraini Ahmad dijangka mempertahan jawatan itu meskipun belum lagi menghantar borang pencalonan.

MEROSOT

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad,enggan mengulas punca kemerosotan calon dalam pemilihan kali ini berbanding pada 2018.

Katanya setakat kelmarin, pihak­nya telah menerima 158 borang pencalonan nama bagi merebut semua jawatan yang dipertandingkan.

Menurutnya, seramai 51 calon telah menghantar borang pencalonan bagi merebut 25 kerusi Majlis Tertinggi, dua calon Pengerusi Tetap dan enam calon Timbalan Pengerusi Tetap.

“Bagi Ketua Wanita UMNO sudah ada seorang calon, tiga calon Ketua Pemuda UMNO manakala Ketua Puteri UMNO enam calon menawarkan diri untuk bertan­ding bagi jawatan itu.

“Seorang calon mendaftar bagi Naib Ketua Wanita UMNO, empat calon Naib Ketua Pemuda UMNO dan tiga calon bagi Puteri manakala 44 calon Exco Wanita, 52 calon Exco Pemuda dan 27 calon Exco Puteri,” katanya ketika dihubungi.

Walau bagaimanapun, hanya kerusi Ketua Pemuda UMNO dan Ketua Puteri UMNO yang kosong itupun setelah Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Zahida Zarik Khan masing-masing meng­umumkan tidak mempertahan jawatan berkenaan.

Perkembangan itu secara tidak langsung terdapat dua nama calon Ketua Pemuda yang disahkan menawarkan diri iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Naib Ketua Pemuda Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Pergerakan Ketua Puteri pula menyaksikan enam persaingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN