Pembeli PR1MA Residensi Seremban Sentral mahu kunci rumah segera - Utusan Malaysia

Pembeli PR1MA Residensi Seremban Sentral mahu kunci rumah segera

HAFIZ Hariri Feisal (depan) bersama pembeli projek perumahan PRIMA Residensi Seremban Sentral yang ditemui pemberita hari ini ketika menyatakan rasa tidak puas hati dan mendesak pihak PR1MA menyerahkan segera kunci rumah yang dibeli mereka.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembeli projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) Residensi Seremban Sentral di sini mendesak pihak pemaju perumahan tersebut untuk menyerahkan segera kunci rumah kepada pemilik.

Salah seorang daripada mereka, Hafiz Hariri Feisal, 32, berkata, dia kecewa kerana projek berkenaan sudah pun siap sepenuhnya namun masih belum boleh diduduki pembeli.

“Saya sudah mula membayar ansuran bulanan pembiayaan perumahan sebanyak RM1,320, jadi saya mahu mereka (pemaju) dapat segerakan penyerahan kunci. Pemaju berulang kali menukar tarikh penyerahan sejak dahulu, ini mengecewakan.

“Saya kini terpaksa membayar ansuran dua buah rumah iaitu rumah sewa dan rumah yang sudah dibeli ini, ia memang sangat membebankan,” katanya.

Dia ditemui pemberita bersama kira-kira 20 pembeli yang lain berkumpul di hadapan projek perumahan itu bagi menyatakan bantahan dan desakan mereka kepada pemaju.

Jelas Hafiz Hariri lagi, pihak pemaju sebelum ini ada memaklumkan akan menyelesaikan penyerahan kunci ini pada bulan Mac depan namun, pada perjumpaan kedua-dua pihak baru-baru ini perkara berkenaan hanya dapat diselesaikan bulan Julai. 

“Sebelum ini mereka (pemaju) memaklumkan pada bulan Mac depan dan mengubah lagi tarikh dengan alasan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) tidak diperolehi,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Saharan Sahruddin,39, berkata, dia yang membeli rumah berkenan pada tahun 2019 agar terkilan sehingga kini masih tidak dapat menduduki rumah impiannya.

“Sampai bila kami perlu tunggu? Kami juga terpaksa buat kerja tambahan semata-mata untuk menampung kos bayaran rumah sewa ketika ini dan rumah yang telah dibeli ini. 

“Jika boleh memang mahu masuk rumah sekarang. Kami mahu berpuasa dan menyambut Aidilfitri di rumah ini,” katanya. 

Projek perumahan PR1MA Residensi Seremban Sentral mempunyai 1,504 unit dan telah mula dibina pada tahun 2017 dan siap sepenuhnya tahun lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.