PATI buka kampung, tanah haram - Utusan Malaysia

PATI buka kampung, tanah haram

Antara kebun sayur yang diusahakan di atas tanah haram di Pulau Meranti, Puchong. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa terus membina perkampungan sendiri selepas meneroka tanah secara haram di Pulau Meranti di Puchong sejak 25 tahun lalu.

Perkampungan didiami komuniti warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu didirikan di kawasan pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan sebahagian tanah rizab kerajaan Selangor.

Anggaran keluasan perkampungan dikuasai warga asing itu kira-kira 32.3 hektar. Kawasan perkampungan itu turut terletak bersebelahan sebuah kilang bas dan Ibu Pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Didakwa perkampungan ha­ram itu dikawal atau diselia tiga lelaki Indonesia yang dipanggil dengan gelaran Lasuwi, Sako dan Seki.
Lasuwi, Sako dan Seki aktif meneroka tanah rizab TNB serta tanah kerajaan negeri untuk tanaman sayur-sayuran.

Wartawan serta jurugambar Utusan Malaysia yang menya­mar sebagai peraih sayur bertemu Lasuwi dan isterinya Sita.
Lasuwi dalam perbualan santai berkata, dia meneroka kawasan tersebut sejak tahun 2000 dan kini mampu menggaji 10 pekerja di ladang sayur miliknya.

Katanya, purata gaji bulanan pekerja RM1,500 seorang de­ngan masing-masing mengusahakan 10 jenis sayuran di petak-petak berbeza.

KACANG PANJANG

“Sayauran saya termasuk kacang panjang, kangkung, tiga jenis sawi, sayur asam, lobak putih, bayam dan sayuran buah seperti bendi dan terung.

“Sayuran di sini diambil secara borong oleh peraih setiap hari. Harga di sini lebih mahal berbanding sayuran Cameron Highlands sebab di sini tidak guna racun kimia malah guna baja tahi ayam,” katanya.

Menurut Lasuwi, harga sa­yuran berubah-ubah bergantung kepada musim.
Bagi sayur sawi, ia dijual sekitar RM2.50 sekilogram (kg), lobak putih RM3.50 per kg, kacang panjang dan baby bayam RM4 sekilogram.

“Setiap kali kami menanam sayur, kami akan menabur baja tahi ayam. Sebab itu harganya agak mahal,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, selain La­suwi dua lagi pendatang tanpa izin Indonesia yang didakwa mengawal komuniti PATI di sini dikenali sebagai Sako dan Seki.

“Sako bekerja di sebuah kilang di sini, Seki pula mengusahakan tanah yang diteroka di sini dan dia menanam sayuran serta ternakan kambing, ayam serta itik.

BERKUASA

“Peranan kedua-dua orang termasuk Lasuwi, apabila pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap PATI di ini, maka mereka bertiga menjadi orang tengah menyelesaikannya,” kata penduduk itu.

Kata penduduk itu lagi, komuniti di sini turut memba­ngunkan perusahaan menju­al arak yang dikawal warga Myanmar dikenali sebagai Kosas.

“Kosas disyaki dilindungi pihak tertentu kerana dia sudah 15 tahun berniaga arak secara haram tanpa masalah.
“Setiap hari cuti sama ada hujung minggu atau cuti umum, apabila warga asing yang be­kerja kilang di sekitar kawasan ini tidak bekerja, maka pusat penjualan arak itu akan dipenuhi mereka yang membeli dan meminum arak beramai-ramai,” katanya.

Kata sumber, kehadiran PATI ini menimbulkan pelbagai masalah termasuk lambakan warga asing yang memonopoli dan menceroboh tanah rizab kerajaan.

Malah katanya, mereka juga menjalankan perniagaan ekonomi hitam termasuk kedai runcit secara haram, penjualan nombor ekor haram, menjalankan ternakan di atas tanah di­ceroboh serta pergaduhan sesama kalangan komuniti mereka.

“Malah, mereka juga ada menjalankan aktiviti perjudian menggunakan daun terup setiap minggu. Ini dibuat di rumah-rumah haram yang dikunjungi warga Nepal, Bangladesh dan Burma.

“Mereka juga disyaki ada menjalankan kegiatan pelacuran dan maklumat ini saya terima daripada sebuah agensi yang telah menjalankan operasi membanteras warga asing, ming­gu lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN