Parti bela Islam, Melayu pilihan Annuar - Utusan Malaysia

Parti bela Islam, Melayu pilihan Annuar

ANNUAR Musa (kanan) menyampaikan sumbangan kepada rakyat Ketereh semasa Wacana Muafakat Nasional di YKK, Kota Bharu, Kelantan malam tadi. UTUSAN/MUSTAQIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Presiden Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan parti yang membela Islam dan Melayu akan menjadi nadi perjuangannya dalam arena politik negara.

Annuar berkata, sebaik sahaja menyertai parti itu beliau akan mengajak seluruh masyarakat di kawasan Ketereh untuk bersama-samanya dalam menggerakan wadah perjuangan baharu tersebut.

“Saya mahu berjuang atas dasar membela dan menegakkan agama Islam, menyatupadukan orang Melayu dan melihat negeri serta negara maju. Jadi parti mana paling dekat dengan semua itu, parti itulah akan saya sertai.

“Saya tidak boleh sesekali membawa MN yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menjadi parti politik. Pada masa sama, saya tidak akan sesekali bertanding sebagai calon bebas,” katanya ketika menjawab soalan daripada moderator, Datuk Roslan Hamid mengenai haja tuju politiknya semasa menjadi ahli panel pada program Wacana Muafakat Nasional di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini malam tadi.

Annuar memberitahu, beliau akan terus kekal di Ketereh dan mana-mana parti yang berhasrat mempelawanya boleh mempertimbangkan perkara tersebut.

Katanya, perkara itu telah menjadi prinsipnya sejak masih bersama UMNO lagi dan beliau sama sekali tidak akan bertukar kawasan dalam apa juga keadaan.

“Jadi kalau sesiapa mahu, bolehlah. Tetapi perlu ingat, Annuar Musa ini ada rakyatnya terutama di Ketereh. Saya sayangkan rakyat Ketereh ini tanpa mengira UMNO atau Pas.

“Itu sudah menjadi prinsip politik saya. Sebab itu saya tidak tukar kawasan dan tidak lari walaupun pernah kalah dalam beberapa pilihan raya Ketereh,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, beliau tidak akan kembali ke pangkuan UMNO selepas dipecat oleh parti berkenaan sebelum ini.

“Bagi saya dalam perjuangan politik kita hendaklah sentiasa berkata benar. Kita harus ada petunjuk dan kena sentiasa berpegang kepada prinsip agama supaya perjuangan kita sentiasa mematuhi syariat.

“Itu jalannya agar perjuangan kita menjadi suatu ibadah yang bukan sahaja diterima sebagai kebajikan di dunia, malah mencapai keredaan Allah di Akhirat. Barulah sempurna bagi kita sebuah keimanan,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya