BATU PAHAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 3,000 vape bernilai RM165,000 yang cuba diseludup masuk di perairan Terminal Feri Minyak Beku, dekat sini petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, rampasan dilakukan anggota yang melakukan rondaan Op Jaksa pada pukul 4 petang.
“Anggota yang menaiki bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah feri penumpang yang dalam pelayaran dari Selat Panjang, Indonesia menuju masuk ke jeti feri Batu Pahat.
“Pemeriksaan ke atas feri berkenaan mendapati sebanyak 30 kotak mengandungi 3,000 unit berisi rokok elektronik (vape) disyaki cuba dibawa masuk secara haram ke negara ini.
“Nakhoda serta lapan kru feri berusia antara 22 hingga 55 tahun warganegara
Indonesia ditahan, manakala kesemua rokok elektronik dirampas.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal isytihar barangan yang dibawa,” dalam satu kenyataan, hari ini.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibenteras, seterusnya memastikan perairan Johor aman dan terkawal. – UTUSAN










