KDN peruntuk RM4.7 bilion pembangunan infrastruktur agensi dibawahnya - Utusan Malaysia

KDN peruntuk RM4.7 bilion pembangunan infrastruktur agensi dibawahnya

PELATIH Kursus Asas Leftenan Muda Maritim gembira dengan melambungkan topi selepas tamat kursus di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperuntukkan sebanyak RM4.7 bilion daripada RM18.5 bilion peruntukan yang diperoleh dalam Belanjawan 2023 bagi pembangunan infrastruktur agensi-agensi keselamatan di bawah kementerian berkenaan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan peruntukan itu akan turut digunakan untuk perolehan dan pertambahan aset-aset baharu.

“Perincian berkenaan pengagihan peruntukan tersebut belum diperolehi daripada Kementerian Ekonomi. Saya akan pastikan hujung bulan Februari ini atau Mac, kelulusan bajet yang sudah dibincangkan dan dibahaskan itu akan diproses untuk perolehan.

“Insya-Allah pihak kementerian bersama barisan kepimpinan di kementerian dan agensi keselamatan di bawah KDN akan memastikan peruntukan yang diberi ini dapat dibelanjakan sepenuhnya tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan perbarisan tamat Latihan Leftenan Muda Maritim Siri 11 Tahun 2022 Maritim Malaysia di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Seramai 78 orang pelatih terdiri daripada 61 lelaki dan 17 wanita berjaya menamatkan tempoh latihan selama sembilan bulan di AMSAS.

Mengulas lanjut, Ruji berkata, pada tahun lalu, KDN memperuntukan RM1.4 juta bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan AMSAS.

Beliau berkata, penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2023 adalah bagi membangunkan lagi projek-projek utama dan menjadikan AMSAS institusi latihan maritim yang lebih kondusif.

Dalam pada itu katanya, setakat ini peratusan pengisian jawatan pelbagai peringkat Maritim Malaysia sudah mencapai 90.76 peratus daripada 5,303 penjawatan diluluskan.

“Sebanyak 490 perjawatan dalam agensi ini yang masih belum diisi dan dijangka dipenuhi menjelang 2026 dan diharapkan 78 pelatih hari ini dapat memenuhi keperluan sumber tenaga itu bagi membantu Maritim Malaysia mengawal perairan yang lebih sensitif terutama di Selat Melaka.

“Sebagai permulaan, mereka (pelatih) yang tamat latihan ini ditempatkan di kapal-kapal Maritim Malaysia yang sedang beroperasi selama empat bulan sebelum disahkan penjawatannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya