Malaysia pertahan kedaulatan maritim berpaksikan Peta 1979

Malaysia pertahan kedaulatan maritim berpaksikan Peta 1979

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mempertahankan kedaulatan wilayah negara dengan berpaksikan Peta Baharu Malaysia 1979 dan tidak mengiktiraf sebarang tuntutan maritim oleh pihak luar yang bertentangan dengannya termasuk oleh China.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia tidak mempunyai sebarang pertindihan kawasan maritim dengan China berasaskan peta yang diperakui di peringkat antarabangsa pada 1979.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana permohonan atau tuntutan kedaulatan dibuat oleh negara lain sekiranya ia tidak selari dengan sempadan yang telah ditetapkan dalam peta berkenaan.

“Kita tetap dengan Peta 1979. Sesiapa sahaja yang menuntut wilayah mereka selepas itu, kita tidak peraku dan tidak iktiraf.

“Malah, kita tidak pernah mengadakan sebarang rundingan dengan negara China (berkenaan tuntutan tersebut),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mustafa Musa mengenai isu teknikal dan diplomatik dalam proses penetapan sempadan antara Malaysia dengan beberapa negara jiran termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan China agar penguatkuasaan zon maritim, udara dan darat lebih berkesan serta sifar pencerobohan.

Mohamad berkata, setiap langkah diambil oleh kerajaan dalam menguruskan sempadan negara adalah berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa bagi menjamin kedaulatan wilayah dan integriti sempadan negara terus terpelihara.

Katanya, istilah proses rundingan penetapan sempadan adalah lebih tepat berbanding pertikaian kerana Malaysia tidak mempunyai perselisihan yang membawa kepada permusuhan dengan mana-mana negara jiran.

“Malaysia tegas tidak pernah mengiktiraf tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana wilayah tersebut sah menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia melalui proses ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri yang diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1963,” katanya.

Beliau berkata, rundingan sedang giat dijalankan berdasarkan konvensyen sejarah tahun 1891, 1915, dan 1928 mengenai hubungan sempadan dengan Indonesia.

Katanya, pada Februari 2025, kedua-dua negara memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara yang menyelesaikan jarak 58.3 kilometer sempadan darat di Barat Pulau Sebatik.

“Bagi Singapura pula, tumpuan kini adalah terhadap usaha mengambil semula pengurusan kedaulatan ruang udara secara berfasa di selatan Kuala Lumpur Flight Information Region (KL FIR) yang kini berada di bawah kawalan teknikal Singapura.

“Bagi sempadan dengan Thailand, sebanyak 11 MoU ditandatangani yang menyaksikan kejayaan penandaan sepanjang 543 kilometer atau kira-kira 82 peratus daripada keseluruhan sempadan darat,” katanya.

Mengulas tindakan waris Sultan Sulu mencabar kedaulatan negara di mahkamah Eropah, Mohamad menyifatkan perbuatan itu sebagai strategi atau cubaan mencari ruang di negara-negara berbeza untuk mendapatkan keputusan memihak kepada mereka.

“Kumpulan penuntut itu mula mengemukakan kes di Sepanyol namun gagal, sebelum beralih ke Luxembourg, Belgium dan akhirnya ke Paris.

“Tuntutan waris Sultan Sulu ini adalah berasingan daripada tuntutan kerajaan Filipina, namun kedua-duanya kita tidak iktiraf sama sekali,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×