MAINS buat laporan polis fitnah salah guna wang zakat

MAINS buat laporan polis fitnah salah guna wang zakat

ABDUL AZIZ SHEIKH ABDUL KADIR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS ) menafikan dakwaan yang disebar melalui media sosial mengenai salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, susulan daripada tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada 2019, pihak MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial tersebut. 

“Pihak MAINS turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jabatan Audit Negara bagi menjalankan siasatan penuh dan pengauditan terperinci terhadap semua dakwaan itu. 

“Namun pada 2023, dakwaan yang sama diulang siar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Abdul Aziz berkata, MAINS sebagai agensi badan berkanun yang dinaungi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sentiasa memastikan pengurusannya mematuhi konsep ketelusan, akauntabiliti serta berintegriti tinggi dalam semua aspek tata kelola.

“Pihak MAINS juga menafikan sebarang tohmahan dan fitnah terhadap kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengenai pembabitan beliau dalam isu berkaitan. 

“pihak kerajaan negeri malahan sentiasa berganding bahu bersama pihak MAINS memastikan semua perkara yang menyentuh masyarakat Islam di negeri ini sentiasa terbela dan disantuni sebaik-baiknya,” katanya. 

Jelas beliau, MAINS sekali lagi membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menimbulkan persepsi negatif dan kegusaran awam terhadap MAINS.

Beliau berkata, pihak MAINS menasihati masyarakat agar sentiasa Tabayyun (menyemak asas kebenarannya) sebelum menyebarkannya. 

“Ia bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti fitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian,” katanya.  UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×