KWSP: Kerajaan tak benarkan demi jaga kebajikan waktu bersara - Utusan Malaysia

KWSP: Kerajaan tak benarkan demi jaga kebajikan waktu bersara

AHMAD MASLAN menerima tabik hormat daripada pasukan yang bertanding dalam Kejohanan Olahraga SK Kayu Ara Pasong di Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Keputusan kerajaan menolak pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertujuan menjaga kebajikan mereka bagi menghadapi waktu persaraan kelak.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengeluaran KWSP sebelum ini disebabkan pencarum menghadapi beban kewangan berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, pelbagai pengeluaran seperti 1-Citra, I-Sinar dan I-Lestari ketika Covid-19, bersesuaian disebabkan rakyat menghadapi pelbagai masalah termasuk kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Menurutnya, ketika dialog belanjawan berfokus oleh Kementerian Kewangan yang berakhir semalam, tiada satu pun cadangan supaya kerajaan meluluskan pengeluaran KWSP.

“Ini menunjukkan mereka memahami bahawa pengeluaran KWSP bukan boleh dilakukan secara sebarangan, namun berdasarkan keperluan seperti ketika Covid-19 melanda dahulu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, simpanan KWSP  adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, 44 peratus pencarum mempunyai gaji bulanan kurang RM2,000 dan 81 peratus pula kurang RM5,000 sebulan.

“Ini bermakna caruman yang dibuat tidak terlalu besar dan sekiranya dilakukan pengeluaran KWSP sebelum bersara, menyebabkan mereka akan menghadapi masalah kewangan kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS ) berkaitan permintaan kerajaan Johor bagi menambah daripada empat lorong ke enam lorong laluan Yong Peng ke Skudai.

“Permintaan kerajaan negeri Johor itu telah lama dibuat dan telah melepasi dua Pilihan Raya Umum (PRU), iaitu PRU14 dan PRU15,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya