KUALA LUMPUR: Purata simpanan tujuh juta pencarum Melayu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyusut dari RM16,900 pada April 2020 kepada RM5,500 sahaja pada tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peratusan penurunan 1.4 juta bumiputera lain juga menyusut iaitu daripada RM10,600 kepada RM3,300 sahaja yang tinggal dalam simpanan mereka.
“Oleh kerana itulah kerajaan tidak bercadang untuk memberikan lagi pengeluaran ini KWSP,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, semalam.
Sementara itu katanya, seramai 6.7 juta ahli atau 51.5 peratus daripada 13.1 juta ahli berumur 55 tahun mempunyai simpanan RM10,000.
Menurutnya, malah mereka yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 itu melibatkan kumpulan B40 dan M40.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan berkata, keputusan itu juga mengambil kita pandemik Covid-19 telahpun selesai, malah moratorium pinjaman dan pemberian subsidi upah juga sudah tidak diteruskan.
Selain itu, jumlah purata simpanan ahli melibatkan semua kaum telah berkurangan sebanyak 50 peratus iaitu RM16,100 pada 2019 iaitu sebelum Covid-19 melanda kepada RM8,100 selepas pengeluaran dibenarkan.
Tambah beliau, sebanyak RM145 bilion telah dikeluarkan oleh 8.1 juta ahli semasa Covid-19 melanda negara.
Pengeluaran khas dari April hingga Mei 2022 pula melibatkan 6 juta ahli yang mengeluarkan RM4.6 bilion. – UTUSAN










