Kami hadiahkan semua wang kemenangan pada ibu - Zaki, Yamani - Utusan Malaysia

Kami hadiahkan semua wang kemenangan pada ibu – Zaki, Yamani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM : Merangkul gelaran juara program Famili Duo musim kedua, Yamani Abdillah, 22, dan adiknya, Zaki Yamani, 17, nekad mahu menghadiahkan wang kemenangan sebanyak RM100,000 kepada ibu masing-masing sebagai tanda kasih dan sayang.

Menurut Yamani, dia dan Zaki sedar tanpa dorongan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi figura penting dalam hidup mereka itu mana mungkin mereka mampu meraih kejayaan besar seperti itu.

“Selama ini, ibu adalah antara penyokong utama dalam kerjaya seni. Tak putus-putus bagi semangat dan mendoakan kami.

“Jadi, kami mahu mendedikasikan kemenangan ini buat kedua-dua ibu kami termasuk semua wang kemenangan yang diraih. Kami percaya, jika kami buat begitu, rezeki buat kami akan lebih melimpah, Insya-Allah,”katanya.

Yamani berkata demikian semasa ditemui usai program tersebut tamat di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, semalam.

Selain itu, kedua-duanya turut terharu kerana bapa mereka, Datuk Jamal Abdillah berpeluang melapangkan masa untuk hadir menyaksikan persembahan mereka di pentas final program berkenaan.

“Itu merupakan kali pertama babah datang tengok kami buat persembahan. Memang sebak dan terharu. Tetapi ia juga membuatkan kami rasa gementar sebab dia ada di depan mata.

“Kemenangan ini juga kami dedikasikan buat babah sebab sepanjang menyertai program ini, dia juga selalu titip pesanan dan semangat buat kami berdua.

“Malah, beberapa hari sebelum persembahan final semalam, dia berulang kali menyakat, ‘Man, kau dan Zaki kena menang kalau nak babah datang tengok di final’.

“Tak sangka, kami betul-betul menang jadi ada sebab untuk kami berasa bangga dengan kejayaan ini yang juga untuk dia,”katanya.

Dalam pada itu, Zaki menambah, dia juga bersyukur diberi peluang menyertai program ini kerana secara tidak langsung dapat kembali menjalin hubungan erat dengan abangnya itu.

“Kali terakhir saya rapat dengan abang ialah sewaktu berusia lapan tahun dan abang pula berusia 11 tahun. Terus-terang, saya pun dah lupa bagaimana cara abang melayan dan bergurau dengan saya waktu kecil dulu.

“Setelah lama tak berjumpa, kami dipertemukan dalam program ini. Bermula dari minggu pertama hingga sekarang, saya mulai ingat bagaimana rapatnya kami dahulu. Sekarang saya pula ‘buli’ dia,”selorohnya.

Untuk info, Yamani adalah hasil perkahwinan Jamal dengan Noraina Mohd Yusof manakala Ahmad Zaki adalah daripada perkahwinan ketiganya dengan Fatimatuzahrah Samad.

Dalam pada itu, bertemakan Anugerah Juara Lagu (AJL), segmen pertama Famili Duo semalam menyaksikan dua beradik ini menyampaikan lagu medley Potret yang dipopularkan Akim & The Majistret dan Pelukan Angkasa (kumpulan S.O.G).

Untuk segmen kedua bertema bebas, Zaki dan Yamani menyanyikan lagu Medley Hutang dendangan Floor 88 & Bunga serta Kau Pun Sama (Syamel).

Naib juara disandang Fyna Jebat dan Ayda Jebat yang menerima ganjaran wang tunai RM20,000.

Wany Kayrie dan Bella Astillah hanya mampu berpuas hati menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM15,000

Tempat keempat dimenangi Sissy Imann dan Naim Caniel yang membawa pulang wang tunai RM10,000.

Pasangan lain yang turut menyertai program terbitan TV3 itu adalah Ara Johari dan Shaffiq Erwin (sepupu); Sabhi Saddi & FareedPF K-Clique (adik-beradik) dan Siti Sairah & Siti Saida (adik-beradik).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.