Istana Raja Muda Perak kini terjaga - Utusan Malaysia

Istana Raja Muda Perak kini terjaga

KEADAAN bekas Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan yang terjaga persekitarannya. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Istana Raja Muda Perak di Jalan Syed Abu Bakar di sini terus tersergam indah dengan keadaan sekelilingnya terjaga selepas kerajaan menangguhkan proses tender bagi penjualan tanah bangunan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Orang Besar Jajahan (OBJ) Hilir Perak, Datuk Meor Redwan Mahayudin berkata, walaupun tiada kerja menaik taraf di bangunan itu, namun secara peribadi beliau gembira kerana bangunan bersejarah itu masih tersergam indah selepas kerajaan menangguhkan penjualannya.

Menurut beliau, keadaan persekitaran bangunan itu bersih dan dijaga dengan elok selepas sekian lama terbiar.

“Apabila keadaannya terjaga, ini menandakan istana ini masih bernilai walaupun dengan keadaan bangunannya yang belum ada sebarang kerja menaik taraf.

“Saya berharap bangunan ini dikekalkan, biar ia menjadi tatapan sejarah generasi ke generasi mengenai kesultanan Melayu di Perak,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menangguhkan proses tender bagi penjualan tanah istana lama itu untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bantahan umum terhadap penjualannya.

Beliau berkata, penangguhan itu juga untuk membolehkan kajian terperinci dijalankan terhadap kawasan tapak istana lama seluas itu 2.092 hektar itu.

Akhbar ini sebelum ini me­nyiarkan laporan kawasan bangunan istana lama yang berkeluasan dua hektar di Teluk Intan dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.

Bagaimanapun, ia mendapat reaksi negatif pelbagai pihak khususnya ahli sejarah yang menyifatkan tinggalan wari­san tersebut sewajarnya terus dikekalkan dan dipulihara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN