Inspektor maut, kereta terbabas rempuh tiang lampu

Inspektor maut, kereta terbabas rempuh tiang lampu

CHONG Yeong Ren/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh dua tiang lampu sebelum terbalik di di Kilometer 5, Jalan Palekbang-Tumpat dekat Wakaf King di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, mangsa, Chong Yeong Ren, 29, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Saga sedang dalam perjalanan dari arah Wakaf Bharu menghala ke Tumpat untuk pulang ke rumahnya di Kampung Terbak di sini.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu Yeong Ren dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh dua tiang lampu di sebelah kiri jalan.

“Insiden itu menyebabkan kereta tersebut terbalik sehingga mangsa tersepit di tempat duduk bahagian pemandu. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tumpat di sini untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)  Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut melibatkan kemalangan itu masih dijalankan.

Katanya, mendiang yang mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pegawai penyiasat jenayah IPD Tumpat pada 3 Jun 2019 meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia tiga bulan. 

“Mendiang Yeong Ren menunjukkan prestasi tugas yang membanggakan dan memberi komitmen terhadap tugas yang dijalankan sepanjang berkhidmat.

“PDRM Kelantan akan turut mengiringi jenazah Yeong Ren ke rumah keluarganya di Klang, Selangor sebagai penghormatan terakhir kepada mendiang,” ujarnya-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya