Guna agensi berdaftar melancong elak jadi mangsa scammer

Elak jadi mangsa scammer ketika melancong, guna khidmat agensi berdaftar

MAX KWOK (tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa MATTA Johor dalam sidang akhbar di Hard Rock Cafe Puteri Harbour, di Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Orang ramai yang berhasrat untuk melancong sama ada dalam atau luar negara dinasihatkan menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar bagi mengelak menjadi mangsa ‘scammer’.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor, Max Kwok menggesa orang ramai menggunakan khidmat agensi berdaftar kerana kes penipuan berkaitan pakej pelancongan semakin meningkat kini.

Menurutnya, menggunakan khidmat agensi pelancongan bukan sahaja dapat memastikan semua transaksi yang dibuat telus, malah turut memudahkan urusan pengguna.

“Berdasarkan statistik, semakin ramai pelancong membuat tempahan secara dalam talian, namun sebahagian besar masih menggunakan kaedah tradisional termasuk menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan.

“Walaupun begitu, kami menasihati pengguna untuk berhati-hati ketika membuat tempahan secara dalam talian kerana sektor pelancongan turut terdedah terhadap penipuan ‘scammer’. Antara penipuan yang paling kerap dilaporkan termasuk berkaitan tiket penerbangan dan tempahan bilik hotel,” katanya dalam sidang akhbar di Hard Rock Cafe Puteri Harbour, di sini hari ini.

Selain itu, Kwok turut meminta pengguna membuat perbandingan harga kerana bukan semua tawaran pelancongan secara dalam talian lebih murah berbanding menerusi agensi pelancongan.

“Agensi pelancong bukan sahaja menjual pakej, tetapi turut memberi nilai tambah. Sebagai contoh melancong ke luar negara, kita menyediakan pemandu pelancong warga tempatan yang akan menerangkan maklumat menarik tentang lokasi lawatan.

“Secara tidak langsung, pengalaman melancong itu menjadi lebih lengkap dan bukan semata-mata mengambil gambar sahaja,” katanya sambil memberitahu pengguna juga tidak perlu runsing dengan pelbagai urusan dokumen diperlukan termasuk insurans. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN