Galak pelajar universiti sertai restoran mamak

Galak pelajar universiti sertai restoran mamak

LATIHAN industri di restoran mamak beri peluang pelajar mempelajari selok-belok pengurusan perniagaan penyediaan makanan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar universiti digalakkan mendalami bidang perniagaan penyediaan makanan dengan menjalani la­tihan industri di restoran-restoran mamak.

Presiden Presma, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, langkah tersebut dapat memberi peluang kepada mereka mempelajari selok-belok untuk menjadi ahli perniagaan dalam industri berkenaan dan bukan sekadar sebagai pekerja semata-mata.

Katanya, dia sendiri bermula sebagai pekerja biasa sebelum timbul minat untuk membuka restoran sendiri di bawah nama Ali Maju yang mempunyai bebeberapa cawangan.

“Asalnya saya bukan ada kena mengena dengan perniagaan restoran mamak. Tapi saya datang bekerja dengan abang saya sewaktu berusia 30 tahun, sebagai pembantu, penyelia kemudian pengurus sampailah saya mampu memiliki restoran sendiri.

“Jadi, sekarang ini usaha kita supaya anak-anak kita mampu menjadi pengusaha dan pemilik rangkaian restoran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam..

Sementara itu, Jawahar berkata, pengusaha restoran masih kekurangan 30,000 pekerja dalam industri tersebut.

“Presma memerlukan pa­ling tidak pun, 20,000 pekerja sementara untuk Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), mereka kata memerlukan kira-kira 10,000. Jadi pekerja diperlukan kedua-dua persa­tuan dalam 30,000 pekerja.

“Pekerja bahagian front desk tiada isu, tapi untuk kerja di bahagian belakang seperti di dapur restoran, saya ingat masih kurang menggalakkan.

“Sekarang kita sedang me­ngusahakan kalau boleh mahu menggalakkan pelajar-pelajar universiti yang mahu buat latihan di restoran-restoran ma­mak. Sebab kita mahu mereka belajar dan satu hari nanti mereka sendiri akan menjadi pemain industri,” ujarnya.

Sementara itu, Organisasi Peruncit Bumiputera (BRO) berkata, pihaknya masih kekurangan 40 peratus pekerja bagi memenuhi sektor peruncitan yang semakin berkembang saiz ope­rasinya.

Presiden BRO merangkap Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Dr. Ameer Ali Mydin berkata, tidak ramai warga tempatan yang mahu menceburkan diri dalam sektor peruncitan yang tidak glamor dan sinonim de­ngan sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Malah dedahnya, rangkaian pasaraya Mydin sendiri me­ngalami kekurangan pekerja yang kritikal dan memerlukan kira-kira 2,000 pekerja.

“Di pihak BRO sendiri pun sama, memang ada kekurangan pekerja. Dalam sektor peruncitan, kita lihat lebih kurang 60 peratus sudah diisi termasuk pekerja sedia ada,” katanya.

“Kita sedia maklum kerja sektor peruncitan ini, pertama waktu kerja panjang. Kedua, banyak sektor peruncitan perlu bekerja pada cuti am, hujung minggu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN