SEREMBAN: Empat suspek bertopeng dan bersenjatakan parang kini diburu pihak polis selepas terlibat dalam tiga kejadian samun dalam rumah di sekitar Rantau dan Mambau di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihak polis telah menerima tiga laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki dan dua wanita lebih kurang pukul 8 pagi hingga 8.38 pagi tadi berhubung kejadian samun dipercayai dilakukan suspek yang sama.
“Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian semua mangsa berada di dalam rumah masing-masing sedang berehat dan keempat-empat suspek masuk ke dalam rumah dengan cara memanjat pagar dan masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci.
“Suspek bertopeng dan bersenjatakan parang itu telah melarikan sebuah kereta jenis Toyota Vios, barang kemas dan juga wang tunai milik mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanda berkata, suspek menggunakan senjata parang untuk menakutkan mangsa pada masa sama mereka menggeledah rumah mangsa dengan mengambil barang-barang berharga.
“Setelah memperoleh barang-barang berharga ke semua suspek terus melarikan diri melalui pintu utama,” katanya.
Menurut Nanda, sehubungan itu tiga kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.
Tambah beliau, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Zafira Mohd. Yusop di talian 013-2386281.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati, sentiasa mengunci pintu rumah dan tidak mendedahkan diri kepada risiko jenayah,” katanya.-UTUSAN.