Ekonomi Malaysia ketinggalan 4 tahun

Ekonomi Malaysia ketinggalan 4 tahun

NEGARA perlukan strategi dan iltizam baharu untuk memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia jauh kebelakang berbanding negara jiran sejak empat tahun lalu kerana bukan sahaja akibat ketidakstabilan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi juga dipengaruhi daripada dasar ekonomi yang ketinggalan.

Situasi itu menyebabkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkapita Malaysia sejak 2018 hingga 2021 tidak berkembang berbanding Indonesia, Vietnam dan Thailand serta Filipina sedangkan semua negara itu sebelum ini berada di belakang Malaysia.

Malah, keadaan itu turut menyebabkan wujud jurang antara jumlah graduan dan peluang pekerjaan selama empat tahun berturut-turut yang menyaksikan jumlah graduan dan pasaran perniagaan tidak seimbang.

BIROKRASI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, kerenah birokrasi masih mewarnai persekitaran dasar ekonomi Malaysia apabila pro­ses permulaan perniagaan kini mengambil masa terlalu panjang sehingga memakan tiga dan empat bulan.

Justeru itu, beliau melihat kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar yang membantutkan minat pelabur ke negara ini apabila mempermudahkan laluan kemasukan pelaburan di samping menyegerakan proses memulakan perniagaan.

“Selain itu, kita perlu menyediakan iklim perniagaan yang berdaya saing dengan bukan sahaja mempermudahkan birokrasi, tetapi mampu menawarkan keperluan tenaga buruh mencukupi kerana kedua-dua perkara ini menjadi penanda aras keyakinan pelabur.

“Pada masa sama kerajaan perlu meneruskan insentif cukai, tetapi pada masa sama kena melihat perkara yang menghalang pelabur tidak yakin bertapak ke Malaysia. Antaranya adakah persekitaran ekonomi sedia ada mampu memberikan peluang lebih baik dan menjamin keuntungan kepada mereka, inilah perlu dikaji kerajaan,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui negara banyak ketinggalan daripada segi pelaksanaan dasar membabitkan ekonomi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan daya saing, kecepatan kelulusan perniagaan serta beberapa inisiatif baharu termasuk pendigitalan dan pengeluaran sumber asli dalam proses hiliran kerana ketinggalan dalam bidang-bidang tersebut berbanding Indonesia, Thailand dan Vietnam.

HASRAT

Bagi Penganalisis ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan para pelabur menangguhkan hasrat untuk melabur di Malaysia kerana ketidakstabilan politik khususnya silih ganti peralihan tiga Perdana Menteri sekali gus menyebabkan mereka mencari peluang di negara jiran.

Katanya, pertumbuhan ekonomi Malaysia banyak dipacu oleh pelaburan langsung asing (FDI) dan sebarang persepsi terhadap geopolitik negara mempengaruhi minat mereka untuk mengintai peluang perniagaan.

“Sebelum 2018, kerajaan ketika itu memujudkan satu jawatankuasa pemandu bagaimana untuk mempermudahkan urusan pelabur untuk bertapak di negara ini. Tetapi selepas itu, perkara itu tidak berlaku.

“Jadi apakah usaha bagi menarik pelabur, di samping dasar yang baik, tetapi kita perlu keyakinan pelabur agar mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dengan kestabilan kerajaan yang mampu menggubal dan melaksanakan dasar yang komprehensif,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN