RANTAU PANJANG: Dua lelaki termasuk seorang warga Thailand yang leka memunggah minyak masak peket ke dalam sebuah kereta untuk diseludup ke negara jiran dicekup polis dalam serbuan di Kampung Haji Wan Omar, Cherang Ruku, Pasir Puteh dekat sini semalam.
Lelaki tempatan berusia 30-an dan warganegara Thailand lingkungan 20-an itu dicekup pada pukul 2.30 petang semasa memunggah barangan subsidi ke dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota telah membuat intipan dan pemerhatian di lokasi dan mendapati kedua-dua suspek sedang memunggah barangan tersebut.
“Selepas membuat intipan selama 10 minit, anggota bertugas telah membuat serbuan dan berjaya menahan kedua-dua suspek.
“Pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah membawa kepada penemuan 44 kotak yang mengandungi 748 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi bernilai RM1,785,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Negara bagi perkhidmatan dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, siasatan awal mendapati minyak masak bersubsidi tersebut dari Besut, Terengganu dan akan dihantar ke Pangkalan Kubor, Tumpat sebelum diseludup ke Thailand menggunakan pangkalan haram.
Katanya, pada masa sama polis turut 153 guni beras seludup pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah RM22,725.
“Hasil saringan air kencing mendapati suspek berusia 30-an yang merupakan warga tempatan di dapati positif dadah. Sementara warganegara Thailand negatif.
“Siasatan yang dijalankan mendapati beras dari Thailand itu diseludup masuk melalui pangkalan haram Jeram Perdah untuk pasaran di Besut Terengganu,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan Seksyen Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN










