PETALING JAYA: Kumpulan hartal ahli farmasi kontrak mahu Kementerian Kesihatan (KKM) bersikap telus apabila menyerap kumpulan profesional itu ke jawatan tetap dan tidak hanya mengutamakan pegawai perubatan (doktor) semata-mata.
Sumber hartal yang dihubungi Utusan Malaysia mendakwa, sepanjang proses pemilihan jawatan tersebut, pihaknya mendapati ada dalam kalangan doktor yang sudah berhenti kerja, namun masih ditawarkan jawatan tetap.
Sedangkan kata sumber, masih ramai dalam kalangan pegawai farmasi kontrak khususnya yang mula berkhidmat sejak tahun 2016 serta 2017, masih tidak menerima tawaran diserap ke jawatan tetap.
Kata sumber, kesan akibat proses perjawatan yang tidak telus mendorong sebilangan besar kakitangan profesional dalam bidang farmasi meletak jawatan beramai-ramai sehingga kumpulan itu kini kekurangan kakitangan, mengakibatkan mereka mengalami keletihan melampau.
“Nampak seakan-akan KKM memilih calon ke jawatan tetap secara rawak tanpa penelitian serius. Sampaikan kami dapat maklumat, ada antara yang dipilih sewaktu temu duga, merupakan doktor yang sebenarnya telah pun berhenti kerja.
“Ini memberi isyarat, kementerian tidak tahu pun latar belakang calon yang mahu ditemu duga ke jawatan tetap dan tidak tahu bahawa calon tersebut telah pun berhenti dari kementerian,” katanya di sini, semalam.
Katanya, kemelut itu menjejaskan moral dan daya kerja kakitangan farmasi kontrak sedia ada, malah mereka kini mengalami kemurungan dan keletihan melampau akibat ramai rakan sejawatan yang telah berhenti kerja dan bertukar ke sektor swasta.
Memberi contoh, kata sumber tiga daripada tujuh kakitangan farmasi unitnya baru-baru ini telah berhenti kerja, mengakibatkan mereka kekurangan kakitangan dan meningkatkan bebanan kerja secara mendadak.
“Contohnya, kita ada satu farmasi Total Parenteral Nutrition (TPN) yang menguruskan nutrisi untuk pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU). Yang itu, pegawai farmasi yang buat.
“Baru-baru ini, daripada tujuh kakitangan, tiga kakitangan TPN berhenti serentak. Sebabnya, ketiga-tiga mereka ini jawatannya kontrak dan langsung tidak ditawarkan ke jawatan tetap, jadi mereka berhenti pergi ke tempat lain.” – UTUSAN










