Diberkas polis selepas dua jam rompak kedai serbaneka - Utusan Malaysia

Diberkas polis selepas dua jam rompak kedai serbaneka

HANYAN Ramlan (tengah) menunjukkan sebahahian barang rampasan selepas menahan dua suspek disyaki terlibat dalam rompakan bersenjata di IPD Kemaman di Kemaman, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Dua pekerja pusat hiburan berjaya diberkas polis dalam tempoh dua jam selepas disyaki melakukan rompakan bersenjata di sebuah kedai serbaneka di bandar Chukai, di sini, semalam.

Ketua Polis daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia 20an hingga 40an tersebut ditahan secara berasingan kira-kira pukul 4 pagi di sebuah rumah dan bengkel, hasil bantuan orang awam yang melaporkan kejadian.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi, ketika pemilik kedai serbaneka berusia 19 tahun sedang berbual bersama dua lagi rakannya, mereka didatangi kedua-dua suspek yang bermotosikal.

“Kedua-dua suspek yang memakai topi keledar dan memakai kain penutup muka, kemudiannya mengacukan pisau atau parang kepada mangsa, sementara seorang lagi suspek menggunakan senjata menyerupai pistol,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, di sini, hari ini.

Hanyan berkata, suspek turut menggeledah kaunter wang dan melarikan wang tunai, selain melarikan beg silang milik mangsa serta rakannya yang mengandungi wang tunai dan tiga buah telefon bimbit serta barangan peribadi.

“Kejadian tersebut menyebabkan mangsa kerugian hampir RM7,000 dan ketika ditahan, suspek cuba menghapuskan beberapa bahan bukti.

“Dengan penahanan kedua-kedua suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua kes rompakan bersenjata berkumpulan di daerah ini sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Hanyan berkata, hasil saringan urin mendapati kedua-kedua suspek positif metamfetamin dan kedua-keduanya mempunyai jenayah rekod lampau berkaitan rogol dan dadah.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam hingga Rabu ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.