Cuai punca pesawat terhempas

Cuai punca pesawat terhempas

Anggota bomba berusaha menyelamatkan mangsa pesawat ringan jenis Piper 28-161 yang terhempas di Medan Gopeng, Ipoh, Perak, Ogos tahun lalu. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH: Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) merumuskan kesilapan manusia dan kecuaian organisasi menjadi punca pesawat ringan jenis Piper 28-161 terhempas sehingga meragut nyawa juruterbangnya di Medan Gopeng di sini, Ogos lalu.

Laporan yang disiarkan dalam laman web Kementerian Pengangkutan 16 Januari lalu itu berkata, keperluan keselamatan tidak dipatuhi semasa latihan penerbangan malam.

Katanya, ia termasuk menghidupkan suis yang salah mengakibatkan enjin bergerak dengan kuasa berkurangan dan keadaan itu menyebabkan juruterbang tidak mengenal pasti secara tepat punca kecemasan semasa berlepas.

Dalam insiden itu, juruterbang pesawat ringan, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, maut manakala pembantunya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, cedera apabila pesawat tersebut terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng.

Kedua-dua mereka yang masing-masing berasal dari Selangor dan Kuala Lumpur merupakan jurulatih penerbangan sebuah akademi penerbangan berhampiran.

“Kesilapan itu tidak disedari oleh kedua-dua juruterbang dan seterusnya menyebabkan enjin pesawat kehilangan kuasa ketika fasa pendakian,” menurut laporan tersebut.

Laporan itu turut menyentuh faktor lain membawa kepada kesilapan juruterbang termasuk prosedur tidak diikuti secukupnya dalam taklimat penerbangan malam.

Katanya, ini menyebabkan kedua-dua juruterbang tidak bersedia untuk mengendalikan kecemasan atau menyedari kawasan pendaratan selamat yang terhad di sekitar lokasi pesawat berlepas dan mendarat.

“Keputusan untuk berlepas pada kedudukan berbeza daripada permulaan landasan merumitkan lagi pertimbangan dan kesilapan membuat keputusan,” kata laporan itu.

Sementara itu, menurut AAIB, terdapat sembilan kemalangan udara tahun lalu dengan dua laporan nahas terakhir disiapkan manakala yang lain masih di peringkat awal sementara menunggu laporan akhir. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN