PETALING JAYA: Anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Turkiye berusaha memastikan mental dan psikologi pada tahap optimum walaupun berdepan dengan cuaca sejuk sehingga negatif lima darjah Celsius.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Utusan Malaysia, Komander SMART, Mohd. Khairul Jamil berkata, pasukan SMART terus memperkuatkan psikologi dan fizikal mereka dalam mencari mangsa-mangsa tertimbus terutamanya ketika cuaca sejuk ekstrem dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kesepuluh.
Katanya, setakat ini pihaknya telah mengeluarkan seramai 52 mangsa gempa bumi.
“Seramai 47 orang ditemukan dalam keadaan telah meninggal dunia manakala lima lagi mangsa masih hidup.
“Walaupun cuaca sejuk, pasukan SMART terus kuatkan mental serta fizikal bagi meneruskan misi mencari dan menyelamat, ” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam pada itu, menurut Mohd. Khairul, setakat ini kesemua kelengkapan aset SAR, perubatan dan logistik mencukupi.
“Memasuki hari kesepuluh, SAR kini dilakukan secara menyeluruh bagi mencari mangsa-mangsa yang tertimbus,” ujarnya.
Semalam, akhbar ini melaporkan penugasan SAR berjalan lancar dan baik yang mana atur gerak bermula fasa rapid dan kemudian ke fasa kedua dengan penggunaan peralatan khas iaitu alat pengesan dan pemotong, kamera pengesan, sensor pergerakan dan anjing pengesan. – UTUSAN










