Ayam tidak cukup pada Ramadan, Aidilfitri? - Utusan Malaysia

Ayam tidak cukup pada Ramadan, Aidilfitri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan ayam dijangka tidak dapat memenuhi permintaan musim Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ekoran masalah kenaikan mendadak harga anak ayam sehari (DOC) selain kerenah birokrasi untuk mengambil pekerja warga asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, tiga sumber persatuan penternak di beberapa wilayah berkata, permintaan ayam pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri lazimnya meningkat 100 peratus berbanding keperluan 2.2 juta ekor sehari, bermakna sebanyak 4.4 juta ekor ayam di­perlukan setiap hari di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Umat Islam dijangka me­nyam­but Ramadan pada 23 Mac ini dan diikuti sambutan Aidilfitri pada April.

Sumber yang mewakili penternak wilayah tengah berkata, semua penternak di bawah persatuannya menjangkakan bagi musim perayaan tahun ini, mereka tidak dapat menampung peningkatan permintaan ayam.

Katanya, harga DOC terlalu mahal iaitu RM3.20 seekor berbanding RM2.60 pada hujung tahun lalu, sekali gus meningkatkan kos operasi mengakibatkan banyak ladang terpaksa ‘berehat’ kerana tidak mampu menanggung kos tersebut.

BEKALAN

“Untuk berkata bahawa bekalan ayam sekarang berkurangan, itu tidak berlaku kerana pengeluaran masih berjalan seperti biasa. Tapi, kami menjangkakan tidak dapat menambah pengeluaran menjelang Ramadan serta Aidilfitri tahun ini.

“Sepanjang berpuluh tahun menternak ayam, setiap kali musim perayaan Aidilfitri, permintaan meningkat 100 peratus. Jika keperluan ayam seluruh negara adalah 2.2 juta ekor sehari, maka sepanjang Aidilfitri akan meningkat kepada kira-kira empat juta ekor sehari. Tapi kali ini, kami memang tak dapat menampung permintaan itu.

“Ini akibat peningkatan harga DOC terlalu tinggi. Berdasarkan libat urus dengan penternak negeri lain, rata-rata mengeluh sebab harga DOC sekarang antara RM3.20 sehingga RM3.40 seekor,” katanya.

Kata sumber itu, selain isu kenaikan harga DOC, masalah ternakan ayam turut didorong karenah birokrasi kerajaan dalam soal pengambilan pekerja asing.

“Dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kita perlu berurusan. Dengan Jabatan Imigresen, kita perlu berurusan. malah dengan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pun kita perlu berurusan.

“Untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran ayam, kita tidak boleh bergantung kepada pekerja sedia ada sahaja, sebaliknya perlu menambah pekerja. Dengan masalah birokrasi, diburukkan pula oleh harga DOC dan dedak yang terlalu tinggi, maka kami memang tidak mampu meningkatkan saiz operasi,” kata sumber.

LANGKAH

Sementara itu, satu sumber penternak ayam wilayah selatan yang dihubungi mempersoalkan langkah kerajaan dalam membantu membanteras eksploitasi kartel industri yang terlibat membekalkan anak ayam DOC serta makanan dedak.

Pada masa sama, sumber mendakwa, kerajaan terlalu banyak karenah birokrasi dalam soal pengambilan pekerja asing, sekali gus menyekat operasi di ladang-ladang ayam.

“Pekerja memang bermasalah, kita susah nak dapatkan dari Indonesia. Pekerja Indonesia sekarang ini tak mahu masuk, sebab di tempat mereka pun boleh cari makan.

“Kemudian dalam soal anak ayam pun memang ada masalah. Sekarang, harga seekor DOC adalah RM3.20. Sejak pertengahan tahun lepas, harga DOC meningkat setiap bulan.

“Soalnya, kerajaan tahu atau tidak isu ini? Sedangkan ibu ayam yang mengeluarkan telur ayam untuk hasilkan DOC, ia makan tak banyak. Sekarang menjelang Ramadan, kalau kata harga anak ayam setinggi itu, apa kerajaan perlu buat?” soalnya.

Dalam pada itu, sumber penternak ayam di sebuah negeri di Lambah Klang turut meluahkan keresahan sama, dengan menjangkakan keperluan ayam di musim Aidilfitri tahun ini tidak dapat dipenuhi penternak-penternak di bawah persatuannya.

“Kalau harga ayam bagus, maksudnya harga makanan turun dan harga DOC turun, kita mampu memenuhi keperluan. Tapi, jika tidak menguntungkan, akan banyak reban ayam direhatkan. Jadi, kalau berdasarkan keadaan semasa, kita memang tak akan dapat memenuhi keperluan hari raya kali ini,” kata sumber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN