Lebih 80% pemandu ‘pecut’ depan sekolah, abai had laju

Lebih 80% pemandu ‘pecut’ depan sekolah, abai had laju

Lebih 80 peratus kenderaan didakwa pecut walaupun melalui depan sekolah. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 80 peratus pemandu tidak mematuhi had laju dengan memecut di depan sekolah yang menetapkan kelajuan 30 kilometer sejam (km/j) sekali gus menyebabkan pelajar sentiasa berisiko terlibat dengan kemalangan.

Pensyarah Pusat Pemanduan Bijak (SDRC) Fakulti Kejurute­raan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, angka tersebut diperoleh melalui kajian dilakukan beberapa tahun lalu.

Menurut beliau, risiko pelajar terlibat kemalangan meningkat apabila kebanyakan pintu utama sekolah berdekatan dengan jalan utama yang sesak dengan pelbagai jenis kenderaan dan ia menjadi cabaran pertama pelajar sebaik sahaja tamat sesi persekolahan harian.

“Pelajar sangat terdedah de­ngan risiko kemalangan. Saya rasa benda ini bukan perkara baharu. Ia adalah perkara lama yang menjadi masalah berterusan dan perlu dipandang serius.

“Banyak perkara menyebabkan ia berlaku. Pertama sekali sudah tentu mengenai tahap pendidikan pemandu, tingkah laku rakyat semasa memandu terutama semasa memandu di hadapan pintu utama sekolah amat membimbangkan.

AMARAN

“Walaupun sudah ada papan tanda amaran untuk kurangkan kelajuan, tidak semua pemandu ada kesedaran mematuhi peraturan tersebut.

“Sebagai contoh, di Batu Pahat hingga Keluang, Johor, banyak pintu utama sekolah berhubung dengan jalan besar walaupun sudah ada ba­nyak intervasi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) tetapi majoriti pemandu tidak mematuhi peraturan kelajuan di hadapan sekolah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini mela­porkan, 5.5 juta pelajar di lebih 10,000 buah sekolah menengah dan rendah di seluruh negara terdedah risiko kemalangan ketika berulang alik ke sekolah.

Perkara ini antaranya dise­bab­kan kawasan sekolah yang tiada pengawal trafik untuk memantau pelajar dan pemandu di luar sekolah selain tiada kemudahan lorong pejalan kaki antara penyebab pelajar perlu mengambil risiko melintas jalan utama.

Munzilah berkata, penyele­sai­an terbaik mengurangkan ri­­si­ko pelajar terlibat dalam kemalangan ialah dengan menggunakan pengangkutan awam, namun sistem pengangkutan tersebut perlu diperkasakan dahulu.

Jelasnya, kerajaan juga perlu memastikan sekolah-sekolah bakal dibina perlu berada betul-betul dalam komuniti perumahan bagi memastikan pelajar boleh berjalan kaki untuk ulang alik sekolah.

“Sebagai contoh di United Kingdom (UK), sekolah-sekolah memang berada di dalam kawasan perumahan yang mana pelajar di negara tersebut berjalan kaki, tidak memerlukan kenderaan.

“Sekiranya pelajar ke sekolah dengan berjalan kaki, kita boleh menaik taraf infrastruktur demi keselamatan dan keselesaan mereka ke sekolah seperti menyediakan laluan pejalan kaki, kamera litar tertutup (CCTV) dan juga lampu,” katanya.

Katanya, pelaksanaan edukasi mengenai keselamatan jalan raya bukan sahaja perlu diterapkan dalam diri pelajar tetapi ibu bapa sendiri.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN