SHAH ALAM: Perancangan pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menerima lebih 97 peratus reaksi positif daripada orang ramai yang memberikan maklum balas secara dalam talian dan bersemuka sepanjang pameran awam diadakan bermula 26 Januari lalu.
Malah, sehingga semalam, lebih 10,000 menyifatkan pembangunan semula itu sebagai signifikan selepas melihat sendiri pameran model KSSA baharu dekat Pusat Beli Belah SACC yang dijangka dibina atas tapak berkeluasan 76 hektar.
Ketua Komunikasi Korporat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Mohd. Ramali Abu Bakar ketika ditemui Utusan Malaysia memaklumkan, rata-rata orang ramai yang menyertai tinjauan tersebut memberikan maklum balas secara spesifik supaya stadium baharu memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Antara cadangan diberikan adalah berharap stadium berkenaan bukan sekadar untuk tempat perlawanan bola sepak semata-mata, bahkan perlu berfungsi bagi penganjuran lebih banyak aktiviti berbanding sekarang.
“Selain itu, paling ramai mencadangkan supaya stadium baharu dipastikan berupaya menjana pendapatan untuk menampung penyelenggaraannya, ini kerana perubahan dilakukan sangat besar dan signifikan kepada penduduk di Shah Alam khususnya,” katanya.
Justeru, penerimaan orang ramai dan reaksi diberikan mereka itu dilihat bertentangan dengan pendedahan sumber akhbar ini terdahulu yang mendakwa lebih 50 peratus membantah projek pembangunan semula stadium tersebut.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam laporan pada 9 Januari lalu menjelaskan, pembangunan semula kompleks berkenaan tidak tertumpu kepada stadium utama semata-mata, sebaliknya dibuat secara menyeluruh termasuk kemudahan-kemudahan yang akan dibina.
Malah, beliau dalam akaun Twitternya mendakwa lebih sejuta menyaksikan model baharu KSSA yang turut didedahkan dalam pelbagai platform media sosial. – UTUSAN










