61 PATI ditahan dalam serbuan di Nilai dihantar pulang ke Indonesia - Utusan Malaysia

61 PATI ditahan dalam serbuan di Nilai dihantar pulang ke Indonesia

SEBAHAGIAN warga asing yang ditahan dalam serbuan yang dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai, Seremban, awal pagi 1 Februari lalu.-GAMBAR/JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 61 orang pendatang tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia daripada 67 orang yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, di sini awal bulan lalu akan dihantar pulang ke negara asal mereka selain akan disenaraihitamkan.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada tujuh orang lelaki, 18 orang perempuan, 20 orang kanak–kanak lelaki dan 16 orang kanak-kanak perempuan yang sebelum ini ditempatkan Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, di sini akan dipindahkan hari ini untuk kembali ke negara asal.

“Seorang orang kena tahan (OKT) pula telah dibebaskan kepada majikan kerana telah berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) JIM.

“Lima orang OKT telah didakwa di Mahkamah Seremban pada 16 Februari lalu dan dijatuhkan hukuman penjara antara lapan hingga 10 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 67 orang PATI termasuk 36 orang kanak-kanak telah ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan oleh pihak JIM di sebuah penempatan haram warga asing yang terletak 1.2 kilometer di dalam hutan di Nilai Spring, Nilai di sini pada 1 Februari lalu.

Operasi yang turut dibantu pihak Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu turut mendapati kawasan tersebut terletak di permukaan yang tidak rata dan berpaya serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar.

Dalam operasi yang bermula pukul 1.30 pagi itu turut mendapati, perkampungan haram tersebut memiliki kemudahan persekolahan mengikut sukatan pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit set generator sebagai punca kuasa elektrik.

Kesalahan yang telah dikenal pasti dilakukan oleh mereka yang ditahan itu adalah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Ai Kiang sementara itu berkata, lain-lain perkara berhubung kes berkenaan termasuk tindakan ke atas pemilik tanah masih dalam siasatan pihaknya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya