ALOR SETAR: Kepemimpinan di enam negeri ‘mencapai persefahaman’ untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing seawal-awalnya pada Mei ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN)
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, terdapat perbincangan tidak rasmi beliau dengan kepemimpinan Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang bagi menentukan tarikh PRN.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, terdapat seakan-akan persefahaman pembubaran DUN di negeri-negeri itu tidak berlaku pada bulan depan atau April ini.
Katanya, faktor tidak akan berlaku pembubaran DUN seawal Mac dan April disebabkan ketibaan Ramadan yang dijangka pada 23 Mac ini dan sambutan Hari Raya Aidilfitri kira-kira sebulan kemudian.
“Selepas itu akan tiba musim mengerjakan haji dan yang penting di Kedah ada Hari Keputeraan Sultan Kedah pada 18 Jun ini.
“Hanya selepas itulah baru boleh dilaksanakan apa yang sepatutnya dibuat bagi pembubaran DUN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini, kelmarin.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ada memaklumkan mungkin membubarkan DUN pada Mei kerana penggal negeri itu berakhir pada 1 Jun.
“Disebabkan DUN (Negeri Sembilan) terbubar sendiri pada 1 Jun, maka mahu tidak mahu, negeri itu perlu bubar DUN pada Mei. Kalau negeri-negeri lain mahu adakan PRN serentak dengan Negeri Sembilan, maka perlu ambil kira 60 hari dari tarikh ia dibubarkan,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, PN tidak akan mengikut Pakatan Harapan (PH) dalam menentukan tarikh PRN, sebaliknya mengharapkan agar PH menuruti mereka dalam hal itu.
“PRN ini memang penting untuk dijalankan serentak kerana mampu membawa penjimatan. Lagipun tindakan sedemikian memudahkan semua pihak terutama yang tinggal jauh untuk pulang mengundi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu berkata, impian PN untuk merampas Selangor dan Negeri Sembilan bukan sesuatu yang mustahil bersandarkan kepada gelombang, momentum dan kehendak rakyat yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malah beliau mendakwa, gelombang PN itu turut mampu ‘menggegarkan’ Pulau Pinang yang dianggap kubu kuat DAP kerana gelombang dan momentum itu tidak hanya dikekalkan malah akan ditingkatkan menjelang PRN di negeri-negeri terlibat.
“Memang kita cuba rampas Negeri Sembilan serta Selangor dan perkara itu bukan mustahil. Apatah lagi ‘sebelah sana’ masih ‘kong kali kong’. Kita ada pendekatan, strategi dan perancangan untuk dilaksanakan dan masa sama, kita tengok juga PH dan Barisan Nasional (BN) buat apa. Nampaknya belum dapat tidur sebilik lagi,” katanya. – UTUSAN










