GUA MUSANG: Sebanyak 200 ekor ayam segar yang dijual dengan harga murah RM1 ‘licin’ dalam masa 20 minit selepas diserbu pengguna sempena pembukaan sebuah pasar raya baharu di daerah ini, hari ini.
Seorang pelanggan, Noor Madihah Mat Derasid, 31, berkata, dia beratur satu jam lebih awal untuk mendapatkan ayam segar itu selepas pasar raya berkenaan dibuka tepat pada pukul 9 pagi.
“Rumah hanya satu kilometer dari pasar raya, jadi saya hanya berjalan kaki datang untuk membeli ayam dengan harga RM1.
“Hari ini saya datang bersama abang, jadi dapatlah kami membeli dua ekor ayam dengan harga RM1 seekor,” katanya ketika ditemui pada semasa Pembukaan BS Freshmart Cawangan ke-20 yang pertama di Kelantan di sini, hari ini.
Sementara itu, pengarah pasar raya berkenaan Mohammad Rasul Razuan berkata, program jualan harga ayam serendah RM1 akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut.
Katanya, bermula tiga hari berturut-turut setiap hari 200 ekor ayam dijual dengan harga RM1. Jadi selama tiga hari sebanyak 600 ekor ayam dijual kepada pelanggan terawal.
“Selepas habis 200 ekor untuk 200 pelanggan pertama untuk hari ini, harga dijual RM7.99 sekilogram masih murah berbanding harga di pasaran
“Kami berharap dapat meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar di sini serta membantu pelanggan membeli barangan keperluan dengan harga yang berpatutan,” ujarnya.
Mohammad Rasul berkata, pihaknya turut menyediakan 1,500 papan telur yang terdiri daripada gred A,B,C masing-masing dengan harga RM13.50, RM12.90 dan RM12.30 untuk kemudahan pelanggan.-UTUSAN










