PETALING JAYA: Sebanyak 18,746 kes pinjaman tidak wujud dilaporkan membabitkan kerugian RM195.4 juta dalam tempoh empat tahun ini.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 3,187 kes dengan kerugian RM37.6 juta dicatatkan bagi 2022, diikuti 4,788 kes (RM50.65 juta) untuk tahun sebelumnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, bagi 2020, sebanyak 5,723 kes dengan kerugian RM60.2 juta manakala 5,048 kes dicatatkan pada 2019 (RM47 juta).
Katanya, dalam tempoh tersebut, pinjaman tidak wujud menunjukkan penurunan namun jumlah tertinggi direkodkan pada 2020, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Ketika itu ramai yang dibuang kerja malah ada hanya dibayar separuh atau suku gaji namun perlu membayar komitmen seperti sewa rumah, duit kereta dan sebagainya.
“Ini membuatkan mangsa terdesak mendapatkan pinjaman. Jadi, wujud sindiket yang mengambil kesempatan menawarkan pinjaman secara dalam talian bagi memperdaya mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sumber berkata, kebanyakan cara sindiket mendapatkan wang mangsa adalah melalui ‘wang pendahuluan’ yang kononnya perlu dibayar sebelum pinjaman diluluskan.
Jelasnya, antara alasan digunakan oleh sindiket untuk mendapatkan bayaran pendahuluan kononnya membabitkan kos perundangan, kos perjanjian, kos insurans, kos peningkatan kredit dan sebagainya.
Bagaimanapun menurut beliau, akhirnya jumlah yang dibayar melebihi jumlah sebenar yang dipinjam dan mangsa terpaksa menanggung hutang selain diganggu peminjam.
“Jika dahulu, sindiket akan mempromosikan melalui banner di tepi jalan dan ah long namun kini pendekatan mereka berbeza lebih mudah dan cepat.
“Mereka akan blast tawaran ‘pinjaman’ melalui mesej, WhatsApp dan media sosial seperti Facebook,” katanya.
Akhbar kelmarin melaporkan puluhan ribu mangsa ditipu sindiket pinjaman wang apabila terdapat antara lima hingga 15 mangsa sehari menghubungi Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM).
Mangsa mendakwa mereka terpedaya dengan tawaran pinjaman kerana ah long kini menyelitkan unsur pinjaman kononnya patuh syariah selain menawarkan kadar faedah yang rendah dan cepat lulus.
Presiden 4PM, Rosland Mohd. Ariff dilaporkan berkata, pihaknya bimbang kes penipuan akan terus meningkat apabila ia turut dipengaruhi tekanan kos sara hidup yang terus meningkat.
“Di sebalik kempen-kempen kesedaran agar masyarakat tidak terpedaya dengan jerat ah long, sindiket pinjaman wang, kami di 4PM berterusan menerima jumlah laporan tinggi antara lima sehingga 15 aduan sehari, menjadikan jumlah kes setiap bulan yang dikendalikan kini mencecah 300 kes dan setahun sekitar 3,600.
“Dulu panggilan bawah 10 pengadu sehari,” katanya.
Mengulas lanjut, Rosland mempersoalkan sikap kerajaan yang terlalu berkeras tidak mahu membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas alasan risaukan simpanan hari tua pencarum.
Sedangkan menurut beliau, kerajaan langsung tidak mengawal kenaikan inflasi yang mengakibatkan ramai terpaksa menempuh liku kehidupan yang sukar akibat kekurangan sumber pendapatan.
Kata beliau, setakat ini kes pinjaman paling tinggi yang pernah dilaporkan kepada pihaknya melibatkan jumlah sebanyak RM700,000 yang dipinjam oleh seorang individu melalui beberapa syarikat ah long.
Bagaimanapun, katanya, jumlah paling lazim dipinjam daripada ah long adalah serendah RM1,000 dengan jumlah bersih yang diterima peminjam cuma sekitar RM500 sehingga RM700 selepas dipotong pelbagai caj seperti proses dokumentasi oleh pemiutang.
Mingguan Malaysia sebelum ini dalam tinjauannya mendedahkan pencarum KWSP yang berusia 50 hingga 55 tahun kini menjadi sasaran syarikat pemberi pinjaman wang yang mendakwa mempunyai lesen Kredit Komuniti untuk pinjaman mudah tanpa ansuran bulanan.
Kebanyakan syarikat tersebut menggunakan nama yang ada unsur islamik dalam media-media sosial. – UTUSAN










