Yakin rampas Selangor, Kelantan kekal bawah PN

Yakin rampas Selangor, Kelantan kekal bawah PN

Perikatan Nasional yakin fenomena gelombang hijau masih kuat menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) yakin mampu me­rampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, keyakinan itu berasaskan 60 peratus penduduk di ne­geri itu berbangsa Melayu yang diyakini akan meneruskan momentum ‘gelombang hijau’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dalam PRN pula.

Berikutan itu, jelas beliau, Pas bersetuju untuk menggunakan logo PN pada PRN Selangor. nanti.

“Gelombang itu masih kuat sehingga hari ini di Selangor termasuk sokongan Melayu luar bandar dan pinggir bandar.

LOGO

“Daripada 60 peratus pengundi Melayu di negeri itu, 30 daripada 56 kerusi adalah adalah kerusi Melayu. Sebab itu kita bersetuju untuk gunakan logo PN di PRN Selangor ini.

“Ia cukup memberi signal yang kita akan memberi tentangan hebat kepada UMNO yang dijangka bekerjasama dengan PKR pada PRN kali ini. Ini bermakna, PN mempunyai kekuatan untuk merampas negeri daripada PKR,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malah, jelas Roslan, kerusi di bawah 60 peratus pengundi Melayu yang dimenangi PN pada PRU15 juga membuktikan gabu­ngan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) benar-benar diterima rakyat sekali gus menggambarkan jumlah kerusi yang dimenangi PKR kelak dijangka merosot.

“Datuk Ahmad Yunus Hairi yang menang kerusi Kuala Langat itu di bawah 60 peratus Melayu iaitu 58.23 peratus dengan majoriti 1,833 undi. Ia memberi signal kuat yang kerajaan negeri Selangor supaya berhati-hati dengan PN,” katanya.

Dalam perkembangan berkai­tan, Roslan turut memaklumkan yang pihaknya akan memuktamadkan pembahagian kerusi dengan Bersatu sebelum hujung bulan ini.

“Proses pembahagian kerusi sudah hampir selesai. Kita membahagikan kerusi mengikut kekuatan masing-masing di setiap kawasan.

“Tiada masalah di situ, insya-Allah semua selesai sebelum hujung bulan ini,” jelasnya.

CEMERLANG

Dalam pada itu, rekod cemerlang bebas rasuah sepanjang 32 tahun mentadbir negeri Kelantan menjadi kunci keyakinan untuk Pas terus diberi mandat oleh rakyat pada PRN tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda Pas ne­geri, Mohamad Kamal Mohamed berkata, keputusan PRU15 yang menyaksikan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) menang di semua 14 kerusi Parlimen di ne­geri ini menguatkan keyakinan tersebut.

Katanya, gelombang anak muda Kelantan yang memberikan sokongan kepada Pas dan PN dalam PRU15 dijangka berterusan sehingga PRN nanti.

“Bagaimanapun Pas tetap tidak mengambil mudah kerana semua parti bertanding mempunyai peluang seimbang pada PRN tidak lama lagi.

“Usaha dibawa inisiatif Ke­lantan For Green (K4G) terus diperkasa bagi memastikan Pas kekal mentadbir selain rekod bersih bebas rasuah selama 32 tahun,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Mengulas mengenai penggunaan simbol bulan pada PRN kali ini, Mohamad Kamal berkata, ketetapan penggunaan logo itu kekal sepertimana PRU15 lalu.

Katanya, penggunaan simbol bulan itu boleh jadi kelebihan besar buat Pas pada PRN itu nanti.

“Namun, pada masa yang sama faktor-faktor lain perlu juga diberikan keutamaan terutama dalam meyakinkan rakyat soal kestabilan pentadbiran dan integriti pemimpin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN