Warga Bukit Malut hidup seperti biasa

Warga Bukit Malut hidup seperti biasa

PENDUDUK Bukit Malut berbual-bual di hadapan rumah mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Isu pencerobohan tanah kerajaan dengan membina penempatan haram di Bukit Malut, di sini terus senyap tanpa sebarang tindakan susulan oleh pemilik tanah di situ sehingga kini.

Tinjauan mendapati, penduduk yang tinggal di kawasan itu menjalani kehidupan ha­rian mereka seperti biasa tanpa ada sebarang kerisauan meskipun kerja-kerja meroboh binaan pernah dilakukan tahun lalu.

Malah, Utusan Malaysia difahamkan, terdapat binaan baharu didirikan tidak jauh dari kawasan rumah penduduk yang dirobohkan oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB), sebelum ini.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Hashim berkata, mereka tidak menerima apa-apa notis tambahan selepas diberikan notis pengosongan selama tiga bulan tahun lalu.

“Setakat ini tiada apa-apa tindakan yang dibuat oleh mana-mana pihak selepas kerja-kerja merobohkan rumah penduduk dilaksanakan pada tahun lalu.

“Kami juga tidak diberikan apa-apa maklumat termasuk notis tambahan setelah notis asal yang diberikan oleh pihak terbabit pada tahun lepas telah berakhir,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Abdullah berkata, ada penduduk yang membina rumah di kawasan yang dirobohkan selepas beberapa bulan tiada sebarang tindakan lanjut oleh PKB.

“Ada penduduk yang membuat tapak rumah, meneruskan kerja-kerja membina rumah mereka semula walaupun ada yang telah dirobohkan tahun lalu.

“Tiada tindakan lain dibuat oleh PKB setakat ini, jadi ada penduduk yang meneruskan membina rumah mereka sebagai tempat untuk berteduh,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Faisal berkata, Pejabat Tanah Langkawi telah melakukan kesi­lapan apabila menyerahkan ta­nah itu kepada PKB sedangkan ada penduduk tempatan telah memohon untuk mengusahakan kawasan itu sebelum ini.

“Pejabat tanah telah memberikan keizinan kepada kami untuk meneroka tanah tersebut, jadi adalah tidak adil untuk hak milik diberikan kepada PKB setelah kami meneroka kawasan tersebut,” katanya.

Pada 27 Jun tahun lalu, PKB mula bertindak terhadap pencerobohan tanah miliknya di Bukit Malut, di sini dengan merobohkan 41 buah rumah yang dibina secara haram di atas tanah berkeluasan 16.19 hektar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN