Wanita UMNO mahu jawatan presiden, timbalan tidak dipertanding - Utusan Malaysia

Wanita UMNO mahu jawatan presiden, timbalan tidak dipertanding

WANITA UMNO perlu memikirkan masa depan parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wanita UMNO meminta supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu akan datang. 

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, ia bagi memberikan kedua-dua pimpinan itu ruang dan sokongan untuk memulih dan memperkasakan UMNO, demi survival politik parti dan negara.

Sehubungan itu, menurut beliau, UMNO harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan terutamanya dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN). 

“Kita faham kita masih lagi penat, lenguh kaki ini masih lagi terasa. Tapi pilihan raya di enam negeri sudah semakin hampir dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat. 

“Walau apapun, kita tidak boleh sesekali alpa atau menyerah kalah. Kesiapsiagaan kita perlu sentiasa di tahap yang tertinggi. Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dan istiqamah dalam perjuangan.

BERLAKU

“Melihat kepada apa yang sedang berlaku dalam parti ini dan situasi politik semasa, sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2022 di ibu negara hari ini. 

Jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO menjadi pertikaian sama ada perlu dipertandingkan atau sebaliknya selepas parti itu berdepan dengan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Beberapa pimpinan UMNO sebelum ini menyuarakan pandangan berbeza menjelang pemilihan parti itu nanti. 

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 19 Mei depan. 

Beliau berkata, ia mengambil kira tempoh enam bulan selepas PRU15 yang diadakan pada 19 November lepas. 

Mengulas lanjut, Noraini berkata, kisah Perang Uhud boleh dijadikan ibrah berhubung pentingnya kepatuhan dan kesetiaan terhadap ketua semasa berperang. 

ARAHAN

“Sebelum tercetusnya perang, Rasulullah memberikan arahan yang jelas supaya lima puluh orang pemanah tidak sesekali meninggalkan kawasan puncak Bukit Uhud. Senjata rahsia itu pada peringkat awalnya menunjukkan keberkesanan yang jitu. 

“Bagaimanapun, akibat kecuaian dan ingkar pada pesanan Rasulullah, empat puluh orang daripada kumpulan pemanah telah turun ke kawasan lembah bukit bagi merebut harta tinggalan tentera musuh. Ini seterusnya menjadi antara punca kepada kekalahan tentera Islam ketika itu. 

“Peristiwa ini wajar kita jadikan pengajaran. Seampuh mana pun strategi yang diatur, kepatuhan dan kesetiaan kepada ketua di saat kita berperang sangat penting. Kita hanya perlu satu nakhoda melayarkan bahtera. 

“Justeru, dalam konteks masa kini, demi perpaduan dan kestabilan parti, ahli parti perlu sentiasa patuh, taat dan setia kepada kepimpinan. Sesungguhnya, Wanita amat menghargai kesetiaan kerana kesetiaan itu adalah kekayaan jiwa yang tiada taranya,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya