KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menggesa parti itu segera melaksanakan pembersihan dalaman secara keseluruhan tanpa sebarang kompromi.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, perakra itu antara lima pembaharuan yang perlu dilakukan segera bagi mengukuhkan semula parti sekali gus mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada UMNO.
Selain itu menurut beliau, UMNO perlu menubuhkan akademi kepimpinan wanita bagi memberikan didikan dan fahaman politik yang mantap menerusi gerakan berstrategi.
“Ketiga, penguasaan media sosial kita perlu lebih kelihatan, efektif dan menonjol visible, melalui penubuhan Unit Media Digital di setiap bahagian.
“Keempat, Skuad Sayang perlu dilihat lebih jelas sebagai ejen penghubung kepada masyarakat dengan mewujudkan agenda kesukarelawanan.
“Kelima, peranan dan gerak kerja Jalinan Rakyat (JR) diperkemas seiring dengan perkembangan teknologi dan budaya setempat dan semasa
BANGKIT
“Selain daripada kelima-lima tadi, untuk kita kembali kuat, bangkit dan pulih, kita perlu rombak pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita, untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman,” kata beliau dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Wanita UMNO hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, UMNO perlu sedar bahawa parti itu bukan sahaja telah gagal meraih sokongan rakyat, tetapi parti itu juga seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu.
Jelas beliau, walaupun UMNO telah banyak berjasa, ia bukan tiket atau jaminan UMNO akan kekal relevan kerana banyak perkara yang perlu dilihat.
“Impak undi 18 tahun dan pendaftaran automatik juga penting dan rata-rata mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
“Kumpulan ini harus ditangani dengan bijaksana oleh UMNO. Pendidikan politik harus dijuarai oleh UMNO dan kita perlu melihat perkara ini sebagai satu agenda jangka masa panjang demi kebaikan parti,”ujarnya.- UTUSAN