Serbuan Op Gaharu 2.0 bongkar pusat panggilan online 

Serbuan Op Gaharu 2.0 bongkar pusat panggilan online 

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan ditemui pemberita di Balai Polis Semenyih
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas premis memproses dan menyimpan dadah didalangi sindiket antarabangsa menerusi Op Gaharu 2.0 berjaya membongkar pusat panggilan penipuan dalam talian dijalankan sindiket sama di daerah ini, 21 Disember lalu. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya sindiket didalangi warga Asia Timur tersebut turut menjalankan kegiatan penipuan dalam talian di negara ini. 

“Dalam serbuan itu, seramai 14 individu ditahan dipercayai terlibat dengan kegiatan terbabit.

“Kita tidak menjangkakan akan membongkar kegiatan penipuan dalam serbuan ini. Sindiket dadah ini jelas mengambil kesempatan dengan turut menjalankan sindiket penipuan,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Semenyih di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek yang ditahan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, PDRM melumpuhkan sindiket dadah antarabangsa yang didalangi warga Asia Timur dengan merampas dadah seberat 6.2 tan bernilai RM1.04 bilion menerusi serbuan Op Gaharu 2.0 di sekitar Selangor pada 21 Disember lalu. 

Serbuan tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ekoran penahanan enam suspek termasuk tiga wanita menerusi Op Gaharu 1.0 pada 16 Disember lalu. 

Hussein dilaporkan berkata, serbuan pertama dijalankan  di sekitar Taman Industri Selasa Jaya, Seri Kembangan di sini dengan merampas cecair disyaki dadah Methylenedioxy Methamphetamine (MDMA) seberat 5,983.36 kilogram (kg) dan serbuk putih disyaki dadah jenis MDMA seberat 207.74 kg. 

Beliau dilaporkan berkata, ia membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong dekat sini dan merampas serbuk disyaki dadah kokain seberat 20.273 kg dan sebuk putih disyaki dadah ketamin iaitu 1.252 kg. 

“Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 6,212 kg bernilai RM1.04 bilion dan jumlah dadah dirampas mampu merosakkan seramai 20.7 juta pengguna,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN