Jho Low ialah proksi, mustahil Najib tidak sedar kepincangan 1MDB

Jho Low ialah proksi, mustahil Najib tidak sedar kepincangan 1MDB

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah seorang yang naif atau tidak berpengalaman, sebaliknya merupakan individu yang bijak, datang dari sebuah keluarga yang terhormat dan latar belakang politik yang kukuh.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, sebarang cubaan untuk menggambarkan bahawa Najib terlalu sibuk menguruskan hal negara sehingga tidak dapat memantau pengurusan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan meletakkan kepercayaan membuta tuli kepada pihak pengurusan dan lembaga pengarah tidak boleh diterima.

“Sebarang percubaan untuk menggambarkan tertuduh sebagai jahil atau tidak menyedari kesalahan yang berlaku di sekelilingnya, oleh itu pasti gagal sama sekali.

“Sebarang tafsiran lain yang membawa kesimpulan agar mahkamah ini perlu mempercayai bahawa tertuduh adalah satu-satunya pemimpin dunia yang walaupun mempunyai kedudukan dan keupayaan tinggi, sanggup membiarkan dirinya diperalatkan dan dikawal oleh pihak bawahan, apatah lagi oleh seseorang yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam 1MDB, sekali gus menjadikan tertuduh bahan ketawa di kalangan pemimpin dunia-sesuatu yang jelas bukan (begitu) hakikatnya.

“Hakikat jelas terpampang di hadapan mahkamah ini ialah kehadiran dan penglibatan Jho Low pada fasa-fasa kritikal transaksi dan urusan berkaitan 1MDB, serta hubungan rapat dan jelas antara beliau dan tertuduh, termasuk fakta bahawa tiada sebarang tindakan diambil terhadap Jho Low walaupun selepas salah laku terbongkar, membawa kepada satu-satunya inferens yang munasabah iaitu Jho Low bertindak dan berfungsi sebagai proksi, saluran, perantara dan pemudah cara bagi tertuduh dalam urusan 1MDB,” kata hakim itu.

Beliau berkata, percubaan sia-sia tertuduh untuk menjauhkan dirinya dengan mengaitkan kehadiran Jho Low pada saat-saat kritikal kepada pihak lain seperti Kerabat Diraja Arab, Kerabat Diraja Terengganu dan pegawai-pegawai dari China mestilah gagal.

Hakim Sequerah turut merujuk kepada keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang menyatakan kebimbangannya terhadap 1MDB kepada Najib, namun telah diminta supaya tidak bimbang mengenai syarikat tersebut.

Hakim Sequerah akan menyambung membaca penghakimannya pada pukul 3 petang ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×