PETALING JAYA: Enakmen rizab Melayu yang berusia lebih 100 tahun sejak digubal pada 1913 wajar dikaji semula secara menyeluruh bagi menjamin entiti tanah dan mengelak pihak tidak bertanggungjawab menjualnya kepada bukan Melayu.
Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof. Dr. Ismail Omar berkata, kebanyakan klausa hanya cenderung kepada larangan jualan daripada pemilik atau penjual berbangsa Melayu kepada kaum lain.
Menurut beliau, perundangan tersebut sudah ketinggalan dan tidak bersifat semasa, menandakan ia perlu dipinda bagi menyelesai masalah isu berkaitan tanah rizab Melayu.
“Ini merupakan dinamika apa juga perundangan. manusia berubah, ekonomi berubah, politik naik turun, masakan undang-undang pegun dan membatu? Jikalau dilihat Fasal 89 Perlembagaan Persekutuan, ada syarat penggantian bagi tanah rizab Melayu yang diambil untuk menyediakan prasarana.
“Peruntukan undang-undang sudah ada tetapi pelaksanaan dan penguatkuasaan yang tiada. Bagaimana pula apabila modal insan tiada pengalaman dan kepakaran?
Apabila pegawai tanah tidak cekap, mudah sekali mereka dirasuk perasuah, petualang dan ‘jembalang tanah’.
“Tambahan pula undang- undang tanah rizab Melayu yang sudah uzur dan koyak rabak. Ibarat orang tua yang sudah lebih 110 tahun usianya, penyakit tiga serangkai bukanlah mustahil lagi. Justeru, penawar yang paling mujarab perlu dicari segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.
Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, dalam hal ini sistem pendidikan di mana silibus harta tanah di universiti tempatan perlu diteliti semula kerana tidak menjurus kepada pentadbiran tanah rizab Melayu secara khusus dan menjadikan pihak terlibat dalam pentadbiran tanah mempunyai tahap kefahaman dan kepakaran terhad.
“Mata pelajaran maqasid syariah boleh diperkenalkan lebih awal terutama melibatkan pentingnya menjaga harta.
“Kedua,silibus harta tanah di universiti perlu diperkasakan, bukan sekadar mencari untung pelaburan tetapi juga pentingnya menjaga supaya rakyat ada tanah dan tidak merempat di bumi sendiri,” katanya. – UTUSAN










