Tatacara KKM nilai pegawai farmasi kontrak dipersoal

Tatacara KKM nilai pegawai farmasi kontrak dipersoal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gerakan Hartal Farmasi Kontrak mempersoalkan tatacara Kementerian Kesihatan (KKM) menilai kemahiran pegawai farmasi kontrak untuk diserap ke jawatan tetap apabila dikendalikan dalam kalangan penemu duga yang tidak memahami bidang tersebut.

Ahli gerakan itu mendakwa, temu duga yang dikendalikan tidak melibatkan pegawai perubatan atasan yang mengenali pegawai kontrak terbabit dan memahami bidang tugas itu, sebaliknya melibatkan agensi lain yang tidak mengetahui ruang lingkup bidang berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Gerakan Hartal Farmasi Kontrak yang enggan namanya disiarkan mendakwa, terdapat pegawai kontrak yang mencuba nasib menghubungi Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa melalui akaun media sosial.

Namun, dakwanya, maklum balas diterima mengecewakan buat seluruh ahli gerakan tersebut apabila pengurus akaun Ahli Parlimen Sekijang itu me­ngatakan pegawai yang akan diserap ke jawatan tetap adalah pegawai ‘berbakat’ sahaja.

“Mereka mahu memilih pegawai ‘berbakat’ sahaja untuk dikekalkan dalam KKM. Apa maksudnya? Sebab semasa temu duga kami tak nampak apa kriteria sebenar dimahukan.

“Sepatutnya apabila penilai­an daripada ketua unit sudah terbaik akan diberi lantikan tetap. Macam saya sendiri memperoleh markah 95 peratus, sudah pegang pelbagai jawatan dan lakukan banyak sumbangan pun masih tidak menerima pelantikan tersebut.

“Ketua unit sendiri tulis saya layak mendapat jawatan tetap tetapi semasa temu duga orang yang memilih kami bukan pegawai atasan sebalik­nya pihak lain. Itu merupakan penilaian sehari sahaja, jadi macam mana mereka boleh nilai bakat,” soalnya ketika dihubungi.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pegawai farmasi kontrak di bawah seliaan KKM seluruh negara menubuhkan gerakan tersebut bagi menuntut perjawatan tetap bagi pegawai kumpulan 2016-2017 yang sudah berkhidmat antara lima ke enam tahun dengan kementerian.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata, KKM perlu menjelaskan sama ada mereka masih mendapat peluang untuk diserap masuk ke lantikan tetap.

“Apabila mereka kata kami sudah tak diberikan peluang untuk temu duga, jadi apa hala tuju untuk kami selepas ini? Adakah KKM tidak perlukan kami? Jika begitu tidak mengapa, kami boleh berhenti secara beramai-ramai.

“Melalui kenyataan terakhir bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ada memaklumkan pegawai-pegawai yang tidak diserap ke lantikan tetap tahun lepas akan diberikan peluang untuk memohon sekali lagi tahun ini tetapi sekarang ini KKM macam biarkan kami bergantung tak bertali,” katanya.

Ketika ditanya adakah gerakan tersebut akan mengadakan protes atau mogok secara besar-besaran terhadap KKM, jurucakap tersebut memaklumkan, itu merupakan langkah terakhir yang bakal diambil sekiranya tiada penyelesaian diberikan.

“Setakat ini kami sedang kumpul maklumat mengenai jumlah pegawai kemasukan dari 2016 yang masih kontrak iaitu ada lebih 80. Untuk Hartal, kami akan usahakan dahulu perbincangan dengan KKM.

“Mengenai (protes) itu kami akan fikirkan jika respons diterima daripada KKM tidak memberangsangkan tetapi itu jika memang sudah berada pada tahap terakhir,” jelasnya.

Sementara itu, cubaan Utusan Malaysia untuk mendapatkan reaksi daripada Dr. Za­liha mengenai perkara ini gagal apabila beberapa panggilan dibuat tidak dijawab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN