PETALING JAYA: Kira-kira RM426 juta berjaya diselamatkan daripada diseleweng majikan dan syarikat yang tidak bertanggungjawab mengemukakan tuntutan palsu menerusi dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya).
Tuntutan berkenaan segera disekat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas melakukan semakan dan siasatan dalaman agensi itu dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan kes penipuan membabitkan dana insentif berkenaan.
Perkeso dalam kenyataannya kepada Mingguan Malaysia berkata, agensi itu telah mengambil pelbagai langkah mengekangnya termasuk mengetatkan kawalan prosedur sedia ada bagi memastikan hanya pihak yang benar-benar layak sahaja mendapat kelulusan tersebut.
Jelas kenyataan itu, setiap permohonan majikan telah dianalisis terlebih dahulu oleh Perkeso sekiranya jumlah pekerja yang dipohon terlalu ramai bagi Program Penjana Kerjaya.
“Analisis yang dilakukan akan mengikut parameter seperti permohonan tidak bertepatan dengan saiz industri, permohonan tidak seiring dengan keperluan industri serta permohonan tidak sesuai dengan latar belakang syarikat,” katanya di sini semalam.
Pada masa sama, kata Perkeso, pemantauan secara berterusan juga dilakukan ke atas latihan di bawah Program Penjana Kerjaya yang dipohon bersama penyedia latihan.
“Perkeso akan melihat adakah latihan tidak bertepatan dengan skop pekerjaan dan latihan bercanggah dengan latar belakang syarikat,” jelasnya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sebanyak RM20,000 sehingga RM3 juta nilai tuntutan palsu didapati dikemukakan syarikat tertentu kepada Perkeso bagi mendapatkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.
Mengesahkan kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, jumlah itu diperoleh hasil siasatan agensi itu berhubung penyelewengan dana insentif berkenaan selepas 32 individu berjaya dituduh setakat semalam.
Beliau berkata, modus operandi yang digunakan syarikat-syarikat berkenaan adalah menyediakan dokumen-dokumen sokongan palsu sebelum dikemukakan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Kebanyakan mereka yang didakwa merupakan pemilik dan pengarah syarikat. Akan ada lagi individu lain kita akan dakwa dalam masa terdekat ini,” katanya.
Untuk rekod, siasatan yang dijalankan melibatkan kolaborasi strategik antara SPRM bersama Perkeso sejak Julai tahun lalu.
Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk Program Penjana Kerjaya adalah RM3.5 bilion dalam tiga peringkat iaitu Penjana Kerjaya 1.0 bermula 1 Jun 2020 sehingga 20 Disember 2020, diikuti Penjana Kerjaya 2.0 (21 Disember 2020 sehingga 30 Jun 2021), dan Penjana Kerjaya 3.0 (fasa pemulihan) iaitu dari 15 Jun 2021 sehingga 31 Disember ini.
Objektif pemberian dana Program Penjana Kerjaya ini oleh kerajaan adalah untuk merangsang ekonomi semasa tempoh pendemik Covid-19 melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan Pekerja.
Muka hadapan Utusan Malaysia semalam melaporkan, syarat longgar yang ditetapkan oleh kerajaan dalam mendapatkan dana insentif Program Penjana Kerjaya telah diambil kesempatan oleh syarikat-syarikat tertentu untuk mengemukakan dokumen-dokumen palsu yang mengandungi maklumat pekerja dan program latihan.
Sepanjang siasatan itu dilakukan sebanyak 61 syarikat disiasat dengan melibatkan tuntutan sebanyak RM87,980,757.29.
Sebanyak 74 individu ditahan dan 27 daripadanya telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah kesalahan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana nilai keseluruhan tuntutan palsu adalah lebih RM4.9 juta.
Dalam kes ini, individu-individu yang didakwa sebagai kakitangan kepada syarikat suspek tidak dapat dibuktikan dan program latihan juga tidak dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana tuntutan.
Wang hasil daripada aktiviti jenayah ini berjumlah RM3 juta juga telah berjaya dilucuthakkan kepada kerajaan. – UTUSAN










