Raja Permaisuri Agong berkenan melawat Masjid Sri Sendayan  - Utusan Malaysia

Raja Permaisuri Agong berkenan melawat Masjid Sri Sendayan 

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan hari ini berangkat ke Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan di sini.

Seri Paduka tiba di masjid berkenaan pada pukul 6.30 petang tadi dengan diiringi anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Afzan Aminah Hafidzatullah.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd. Rashid Hussain yang juga individu yang mewakafkan masjid tersebut bersama isteri, Puan Sri Hani Yang Mohd. Yatim.

Baginda seterusnya menunaikan solat sunat dan kemudian berkenan melawat sekitar masjid yang berkeluasan 4.5 hektar itu.

Baginda kemudian berkenan menunaikan solat maghrib yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sri Sendayan, Ustaz Mohd. Nazri Abu Zarim dan solat isyak yang diimamkan oleh Imam 3 Masjid Sri Sendayan, Sheikh Mohamed Abdelnaby. 

Seri Paduka kemudiannya turut beramah mesra dengan jemaah yang hadir dengan masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan baginda.

Baginda kemudian berangkat ke majlis santapan di masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.

Masjid Sri Sendayan menjadi antara tarikan orang ramai kerana keindahan seni binanya. Mula dibina pada tahun 2015 dan dirasmikan pada 20 September 2019, Masjid Sri Sendayan mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa sekali gus menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan.

Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Seremban itu, diwakafkan oleh Abd Rashid dan dibina dengan kos lebih RM100 juta itu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya