PRN enam negeri tidak berlaku serentak?

PRN enam negeri tidak berlaku serentak?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melihat berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak membabitkan baki enam negeri mungkin tidak akan berlaku.

Menurut sumber, tiga negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sama dengan tiga negeri Perikatan Nasional (PN).

Sumber yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, situasi itu dipengaruhi trend sentimen majoriti rakyat ketika ini masih belum stabil memihak Kerajaan Perpaduan.

Justeru, sekiranya tiga negeri ditadbir PH itu melaksanakan PRN serentak dengan tiga negeri dimiliki PN, peluang untuk blok tersebut menang amat tipis, malah boleh tewas.

“Kita menjangkakan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan hanya membubarkan DUN masing-masing sekitar Julai untuk PRN itu dapat berlangsung Ogos nanti,” katanya.

Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 lalu menyaksikan hanya Perlis, Perak dan Pahang yang mengadakan PRN di negeri mereka serentak dengan Parlimen.

Sementara Johor dan Melaka selain Sabah dan Sarawak sudah pun selesai melaksanakan PRN sebelum itu manakala Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pula tiada kerusi DUN.

Utusan Malaysia pada 29 November 2022 melaporkan kebimbangan Gerakan Belia 4B mengenai kebarangkalian PRN di enam negeri diadakan ketika musim haji awal Julai ini.

Ia susulan banyak peristiwa besar akan berlaku bermula awal tahun ini sehingga Ogos nanti termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2022 dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ketika Majlis Kenduri Rakyat di Pulau Pinang kelmarin turut membayangkan bahawa PRN di 6 negeri itu tidak berlaku serentak.

Penjelasan tegas beliau sebagai menjawab keputusan Pas untuk menetapkan sendiri tarikh pembubaran DUN dan menyifatkan ia adalah hak mereka serta bukan pun urusannya.

Perkara itu turut diakui oleh bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Akmar Hisham Mokhles yang melihat senario politik tanah air ketika ini amat goyah.

Beliau dalam nada kurang optimis mendedahkan berdasarkan risikan Barisan Nasional (BN), tiga negeri PH itu tidak sesuai untuk mengadakan PRN sebelum tiba Hari Raya Puasa.

Sebaliknya, parti tersebut berpandangan agar PRN melibatkan tiga negeri PH itu adalah lebih elok berlangsung selepas habis sambutan Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun kelak.

Faktor kelewatan itu turut mengambil kira tarikh penerbangan pulang jemaah haji tanah air dengan kumpulan pertama pada 6 Julai ini manakala yang terakhir pada 2 Ogos depan.

“Difahamkan tiga negeri PN iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka bubar DUN mereka pada Mac bagi PRN berlangsung mungkin ketika awal bulan Ramadan,” jelasnya.

Tempoh genap penggal DUN bagi negeri berkenaan adalah berbeza dengan Kelantan pada 22 Jun manakala Terengganu pula 1 Julai dan Kedah selang tiga hari kemudiannya.

Pelaksanaan PRN secara berasingan dijangka memberikan implikasi kewangan yang besar kepada SPR berdasarkan suasana trend inflasi dan kos rencam semakin meningkat.

Badan bebas itu membelanjakan RM130 juta untuk PRN ke-16 di Sabah pada 2020 lalu selain RM149 untuk PRN ke-12 di Sarawak yang merupakan negeri terbesar di Malaysia.

Pada 2021 pula SPR telah pun menghabiskan RM45 juta untuk PRN ke-15 di Melaka diikuti jirannya, PRN ke-15 di Johor yang mencecah peruntukan hingga RM96 juta.

Sekiranya dilakukan serentak, hampir 10 juta pemilih berdaftar di enam negeri itu akan mengundi sekali lagi selepas PRU-15 dengan Selangor paling ramai iaitu 3.6 juta pemilih.

Jumlah itu dijangka bertambah lagi apabila SPR mewartakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2022 pada bulan depan untuk sesi bantahan dan semakan balik.

Jika PH mahu PRN pada Ogos, ia menyaksikan kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan tergantung apabila DUN masing-masing terbubar automatik pada 26 Jun dan 2 Julai nanti. – UTUSAN

Tarikh DUN dibubar automatik
Kelantan = 22 Jun 2023
Selangor = 26 Jun 2023
Terengganu = 1 Julai 2023
Negeri Sembilan = 2 Julai 2023
Kedah = 4 Julai 2023
Pulau Pinang = 2 Ogos 2023

Jumlah pemilih berdaftar
Selangor = 3,677,848
Kedah = 1,575,805
Kelantan = 1,404,763
Pulau Pinang = 1,220,552
Terengganu = 922,856
Negeri Sembilan = 850,865
JUMLAH = 9,652,689

Jumlah kerusi DUN
Selangor = 56
Kelantan = 45
Pulau Pinang = 40
Negeri Sembilan = 36
Kedah = 36
Terengganu = 32
JUMLAH = 245

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN