Siti Asiah Ahmad dilantik Ketua Perangkawan baharu

Siti Asiah Ahmad dilantik Ketua Perangkawan baharu

SITI ASIAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Perangkawan bagi (Program Ekonomi), Siti Asiah Ahmad dilantik sebagai Ketua Perangkawan Malaysia ke-10, berkuat kuasa hari ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Siti Asiah, 51, mempunyai pengalaman hampir 28 tahun dalam bidang statistik ekonomi dan sosial, transformasi digital serta pembangunan dasar berasaskan bukti.

Katanya, beliau memulakan perkhidmatan sebagai Perangkawan pada tahun 1998 dan pernah menerajui penyediaan statistik utama negara, termasuk Keluaran Dalam Negeri Kasar, perdagangan luar negeri serta statistik industri dan perkhidmatan.

“Pelantikan Siti Asiah mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap pengalaman, kepakaran dan rekod perkhidmatan beliau untuk menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompleks, statistik rasmi perlu lebih pantas, tepat dan boleh dipercayai supaya kerajaan dapat bertindak lebih awal dan menyasarkan intervensi dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan.

Akmal Nasrullah berkata, sepanjang perkhidmatan, beliau terlibat dalam pelbagai inisiatif strategik negara, termasuk pembangunan Pangkalan Data Utama, penyediaan statistik kos sara hidup dan pengukuhan Sistem Statistik Negara.

Sitia Asiah memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Teknologi Malaysia.

“Kepakaran beliau turut diiktiraf melalui penglibatan dalam kumpulan kerja statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ASEAN dan organisasi antarabangsa berkaitan.

“Struktur kepimpinan tertinggi DOSM turut diperkukuh dengan pelantikan Norhayati Jantan sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Sosial dan Pembangunan Teknikal serta Wan Mohd Shahrulnizam Wan Mohd Najuri sebagai Timbalan Ketua Perangkawan bagi Ekonomi.

“Kementerian Ekonomi merakamkan ucapan tahniah dan yakin barisan kepimpinan ini akan terus memperkukuh kredibiliti statistik rasmi serta menyokong perancangan pembangunan negara yang lebih tepat, telus dan berasaskan bukti,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN