PETALING JAYA: Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi diumumkan penerima Anugerah Donald R Cressey 2026, pengiktirafan tertinggi dianugerahkan Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE).
Unit Komunikasi Korporat Jabatan Audit Negara (JAN) dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan organisasi profesional antikorupsi terbesar di dunia itu menjadikan Wan Suraya sebagai rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berkenaan sejak ia diperkenalkan pada 1989.
Katanya, beliau juga muncul penerima pertama dari rantau ASEAN, kedua dari Asia serta Ketua Audit Negara pertama di dunia yang menerima pengiktirafan itu dalam tempoh 37 tahun penganjurannya.
“Anugerah berprestij itu disampaikan pada Persidangan Global Fraud ACFE Ke-37 di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), menghimpunkan lebih 5,000 profesional antikorupsi daripada sektor awam dan swasta di seluruh dunia.
“Pengiktirafan itu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa, malah mencerminkan keyakinan komuniti global terhadap komitmen negara dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, ketelusan dan akauntabiliti sektor awam,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, JAN melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk pindaan Akta Audit 1957 pada tahun 2024, memperkukuh pendekatan audit berasaskan data melalui Pendigitalan Perkhidmatan JAN (PPJ), penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya dan memperkasakan Papan Pemuka Ketua Audit Negara (AGD) sebagai instrumen pemantauan susulan audit secara masa nyata.
“Reformasi itu mengubah peranan audit daripada sekadar mengenal pasti kelemahan kepada memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan, memperkukuh tadbir urus, melindungi wang awam dan meningkatkan akauntabiliti secara berterusan.
“Pengiktirafan Donald R Cressey Award 2026 membuktikan bahawa pembaharuan yang diterajui Malaysia kini menjadi rujukan dan mendapat pengiktirafan komuniti antikorupsi antarabangsa,” katanya.
Presiden ACFE, John Gill dalam kenyataan sama berkata, Wan Suraya menampilkan standard kecemerlangan dan integriti yang menjadi lambang seiring dengan pengiktirafan Donald R Cressey Award.
“Beliau menjadi contoh inovasi dan integriti di rantau Asia Pasifik serta peringkat global.
“ACFE berbesar hati mengiktiraf impak kepimpinan beliau serta pendekatan inovatif dalam audit dan pengurusan risiko penipuan yang berjaya meningkatkan ketelusan serta kepercayaan terhadap sektor awam di Malaysia dan rantau ini,” katanya.-UTUSAN










