Permintaan Rehda Johor naikkan harga RMMJ 100 peratus keterlaluan - Mohd. Jafni - Utusan Malaysia

Permintaan Rehda Johor naikkan harga RMMJ 100 peratus keterlaluan – Mohd. Jafni

MOHD. JAFNI MD SHUKOR (kiri) dan Suhailizan mendengar aduan yang dibangkitkan oleh pembeli pada Program J-Home One Stop Center di Dewan Bandar Putra, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI:  Permintaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Johor kepada kerajaan negeri untuk menaikkan harga Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) sebanyak 100 peratus adalah keterlaluan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, permintaan itu sukar untuk diterima kerana akan membebankan pembeli, khususnya golongan B40.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, pihak kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) bersetuju untuk menaikkan harga RMMJ bagi kategori A dan B, manakala kategori C dikekalkan pada harga sedia ada.

“Menyedari faktor kos barang yang naik antara 30 hingga 40 peratus, PKPJ bersetuju untuk menaikkan harga RMMJ kategori A daripada RM42,000 kepada RM50,000 dan kategori B daripada RM80,000 kepada RM100,000.

“Sementara itu, rumah kategori C pula dikekalkan pada kadar RM150,000. Ini adalah langkah yang terbaik untuk memberi situasi menang-menang kepada pemaju dan dalam masa sama tidak membebankan pembeli.

“Mengikut polisi sedia ada, kita sudah membenarkan pemaju membina 60 peratus rumah mewah, sebagai balasan membina RMMJ bagi kapasiti 40 peratus. Jadi, tidak munasabah rumah RMMJ itu dijual mengikut harga pasaran,” katanya selepas menghadiri Program J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Jenis C Taman Bandar Putra di Dewan Bandar Putra, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Eksekutif PKPJ, Dr. Suhailizan Suliman.

Mohd. Jafni memberitahu, perbincangan mengenai kenaikan harga RMMJ kategori A dan B itu melibatkan Jawatankuasa Perancangan, Rekabentuk dan Semakan (PDRC) antara pemaju rumah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu,  Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, kerajaan negeri kini turut memberi tumpuan bagi menangani masalah 8,970 penduduk setinggan, khususnya melibatkan warga asing dan golongan yang menduduki penempatan haram di sekitar daerah Johor Bahru.

Namun, beliau mengakui  proses pemutihan itu akan mengambil masa kerana melibatkan pelbagai peringkat setelah tapak tanah yang diduduki mereka dimiliki pelbagai pihak, termasuk tanah milik bukan kerajaan.

“Bagi orang tempatan yang menduduki kawasan setinggan, biasanya kita bincang dan tawarkan rumah PPR (Program Perumahan Rakyat). Proses ini sedang berjalan dan tertumpu di kawasan-kawasan tepi sungai, khasnya di Skudai dan Tebrau.

“Kita selesaikan isu setinggan daripada pelbagai sudut kerana ada mereka yang tinggal di tanah milik kerajaan negeri, tanah milik kerajaan Persekutuan, tanah milik swasta dan tanah milik GLC (syarikat berkaitan kerajaan),’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya